Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Budayakan nilai-nilai murni dan keindahan Islam

Tawfiq berucap dan merasmikan majlis khatam Al-Quran

Tawfiq berucap dan merasmikan majlis khatam Al-Quran

TAWAU:   Menghayati dan membudayakan al-Quran bukan sahaja harus dilakukan dalam bulan bulan tertentu sahaja,   tetapi juga sepanjang masa bagi memastikan kehidupan umat Islam terpandu dan tidak tergelincir daripada landasan Islam sebenar.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata, ini kerana kitab suci tersebut merupakan sumber utama umat Islam untuk menjalani kehidupan seharian.

“Banyak iktibar dan pedoman yang boleh diambil daripada kitab wahyu Allah yang mendidik manusia menjadi muslim yang diredai,” katanya pada Majlis Khatam Al Quran Perdana Sempena Karnival MyMasjid Peringkat Negeri Sabah 2015 di Masjid Al-Kauthar, di sini semalam.

Lebih daripada 2000 murid Kafa menyertai majlis khatam tersebut.

Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Apas berkata, kitab suci tersebut menjadi rujukan sepanjang zaman dan apabila timbul perselisihan, umat Islam perlu kembali kepada petunjuk dan ajaran al-Quran.

Menurutnya, apabila kitab suci itu dibudayakan dalam kalangan masyarakat khasnya di peringkat awal, nilai-nilai murni dan keindahan Islam yang bersifat sejagat akan dapat diterapkan, seterusnya menjadi mesej positif kepada golongan bukan Islam.

Dalam perkembangan lain, pada sebelah pagi, Tawfiq berkesempatan mengetuai program berjalan kaki dalam Program Senam Sihat yang berlangsung dari Padang Bandaran Tawau menuju ke Masjid Al Kauthar Tawau.

Dalam perasmian tersebut, Tawfiq menyarankan agar orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dengan sentiasa bersenam bagi mengelakkan penyakit.

Beliau juga memuji usaha yang dilakukan YADIM dan agensi lain yang berusaha mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat di kawasan Tawau.

“ Usaha ini perlu diperluaskan dari semasa ke semasa demi menggalakkan gaya hidup sihat”, katanya.

Pelbagai program dilangsungkan sepanjang program Karnival My Masjid Peringkat Negeri Sabah termasuklah Program Berjalan Kaki Bersama Menteri, Program Khatam Perdana, Forum Perdana dan banyak lagi program seperti pameran yang berlangsung.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Arifin Arif, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ismail Mayakub, Pengarah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Samin Ungki, Penolong Pengarah Kafa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Nordianah Alwi dan Penyelia Kafa Daerah Tawau, Amin Nasir.-Sayangsabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan