Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Budaya rumah terbuka kukuhkan integrasi nasional

 

Ramlee (kiri) bersalaman dengan hadiri yang berkunjung ke rumah terbuka beliau.
Ramlee (kiri) bersalaman dengan hadiri yang berkunjung ke rumah terbuka beliau.

 

SEMPORNA – Amalan kunjung-mengun­jung pada majlis rumah terbuka sempena perayaan kaum yang dia­malkan selama ini secara tidak lang­sung mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

 

Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marhaban berkata, amalan seperti itu perlu diteruskan kerana se­mangat perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat dapat dipupuk.

 

“Dengan berkunjung ke rumah terbuka kaum lain kita dapat memahami, menghormati agama, kebudayaan serta adat resam kaum terbabit dan sekali gus hubungan sesama kaum dapat diperkukuhkan,” katanya ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Terbuka kampung Seraya, Semporna, di sini semalam.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya berkata,sebagai rakyat berbilang kaum di Malaysia, semua pihak harus mengekalkan dan memperkukuh perpaduan melalui kunjungan semasa sambutan ses­uatu perayaan terbabit.

 

“Amalan rumah terbuka sempena sambutan perayaan seperti Hari Raya mampu menjadi penanda aras kepada perpaduan kaum di negeri ini selaras gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Inilah semangat Hari Raya, negeri kita mampu bersama-sama meraikan dalam mengukuhkan kerjasama, perpaduan, menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada negara Malaysia amnya negeri Sabah.

 

“Kita harap dapat pupuk semangat 1Malaysia dan jelas terbukti di sini semua kaum dapat merayakan dalam semangat itu (semangat perpaduan),” katanya.

 

Jelas beliau perpaduan cukup penting bagi kestabilan dan kemajuan negara seterusnya membolehkan masyarakat dan negara menghadapi cabaran yang mendatang terutama di peringkat global.

 

“Budaya kunjung-mengun­jung di kalangan masyarakat bukan sahaja sambutan Hari Raya Aidilfitri, malah kita semua dapat melihat tradisi seperti ini pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, Pesta Kaamatan, Krismas, Deepavali dan sebagainya.

 

“Justeru, kerajaan amat menggalakkan budaya seperti ini diteruskan dan dikekalkan demi memperkukuh integrasi nasional kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini,” jelasnya. – SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan