Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Buckingham berang

MUKA depan akhbar The Sun kelmarin.

London: Istana Buckingham semalam menyatakan rasa kecewa selepas akhbar The Sun menyiarkan imej Ratu Elizabeth II memberi tabik Nazi ketika masih kanak-kanak pada 1930-an.

Akhbar berkenaan kelmarin menyiarkan gambar hitam putih itu di muka depan, menunjukkan Elizabeth yang ketika itu berusia sekitar enam tahun, mengangkat tangan kanannya di samping ibunya, Ibu Ratu, melakukan perkara sama.

Judul cerita itu berbunyi ‘Their Royal Heilnesses’ – merujuk kepada ‘Heil Hitler,’ ucapan alu-aluan yang digunakan Nazi Jerman.

Siasatan mengenai bagaimana The Sun memperoleh rakaman itu sudah dimulakan dan pihak istana mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu, bergantung kepada hasil siasatan, kata sumber istana.

“Sungguh mengecewakan apabila filem yang dirakam 80 tahun lalu dan milik keluarga peribadi Ratu dieksploitasi sedemikian rupa,” kata jurucakap Istana Buckingham dalam satu kenyataan.

Walaupun ratu itu tidak menyedari kesan tabik itu kerana masih kanak-kanak ketika itu, cerita yang disiarkan The Sun sudah pasti memalukan keluarga diraja, lebih-lebih lagi Elizabeth yang kini berusia 89 tahun.

Sepuluh tahun lalu, The Sun, tabloid dan akhbar paling laris di Britain, menyiarkan gambar Putera Harry memakai lilit tangan swastika di majlis pakaian beragam seorang rakan. Harry yang menduduki tangga kelima senarai pewaris takhta Britain kemudian meminta maaf.

Imej menunjukkan tabik Nazi itu dipetik dari rakaman video 20 saat yang menurut The Sun dirakam di rumah keluarga diraja di Balmoral, Scotland pada 1933 atau 1934 dan tidak pernah disiarkan sebelum ini.

Turut berada dalam gambar itu ialah adik Elizabeth, Puteri Mary dan bapa saudara mereka yang kemudian ditabalkan menjadi Raja Edward VIII.

Hubungan Edward dengan Nazi masih menjadi perbahasan di Britain tetapi beberapa sejarawan berkata, dia bersimpati dengan Adolf Hitler.

Dia menemui Hitler di Jerman pada 1937, setahun selepas turun takhta kerana keinginan untuk berkahwin dengan janda warga Amerika Syarikat Wallis Simpson.

Pengarang The Sun Stig Abell mempertahankan tindakan menyiarkan imej berkenaan dengan berkata, ia tidak bertujuan untuk mengkritik Elizabeth atau keluarga diraja.- myMetro Online

Komen


Berita Berkaitan