Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Buaya Seberat 150 Kilogram Gemparkan Penduduk

BEAUFORT – Sekumpulan penduduk gempar seketika dengan kehadiran seekor buaya sepanjang 2.7 meter dan berat hampir 150 kilogram dalam satu kejadian di Kampung Mempakul, Menumbok, malam tadi.

Kehadiran ‘tetamu tidak diundang’ itu disedari seorang penduduk dikenali sebagai Mohd Sahrin Kamarin, 41 tahun, pada kira-kira jam 8 malam, ketika sedang berehat di beranda rumahnya.

Sebaik terlihat kelibat sang bedal tersebut, dia menjadi panik dan bergegas ke pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Menumbok yang terletak berhampiran bagi memaklumkan kejadian itu.

Menurut Pegawai APM Beaufort, Mohd Mayroof Koibil, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menjalankan operasi menangkap buaya tersebut yang akhirnya berjaya pada jam 9.03 malam.

“Kita menerima maklumat sekitar jam 8.10 malam daripada salah seorang penduduk yang mendakwa terlihat seekor buaya berlegar di kediaman mereka dalam kejadian di Kampung Mempakul, Menumbok.

“Bertindak atas maklumat, tujuh anggota daripada APM Menumbok digegaskan ke lokasi dan sebaik tiba di tempat kejadian, kita dapati rumah berkenaan adalah berdekatan dengan sungai serta paya.

“Kami berjaya mengesan kedudukan buaya tersebut di bawah rumah berkenaan,” katanya.

Tambahnya, buaya itu kini diletakkan di bawah pihak APM untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohd Mayroof, reptilia terbabit disyaki sudah membaham beberapa haiwan ternakan di lokasi itu sebelum berjaya ditangkap. – astroawani.com

Komen


Berita Berkaitan