TAWAU: Arahan larangan keras dikeluarkan kepada semua penduduk kawasan Kampung Kalabakan agar tidak menghampiri atau mandi di tebing Sungai Kalabakan ekoran kelibat buaya yang kelihatan di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah, ACP Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan notis arahan pemberitahuan larangan keras yang dikeluarkan pihaknya kepada penduduk kawasan itu bagi faktor keselamatan dan mengelak dari menjadi mangsa.
Menurutnya, kelibat beberapa ekor buaya kelihatan berkeliaran di kawasan sungai itu kebelakangan ini dan semua pihak perlu maklum mengenai perkara ini khususnya ibu bapa.
Ibu bapa katanya dinasihat agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan mereka ke kawasan itu.
Jelasnya, arahan notis pemberitahuan dan larangan keras itu telah dikeluarkan Ketua Balai Polis Kalabakan, SM Sherzaman Zizurahman pada 26 Oktober untuk pengetahuan masyarakat atau penduduk di kawasan itu.
”Sila ambil maklum mengenai perkara ini dan kita berharap agar penduduk sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga,” katanya lagi. – NewSabahTimes