Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

BSLS pemangkin industri seni Sabah

BSLS; lambang aspirasi seni rakyat Sabah
BSLS; lambang aspirasi seni rakyat Sabah

KOTA KINABALU – Penubuhan Galeri Balai Seni Lukis Sabah (BSLS) sejak tiga tahun lalu dengan kos RM16 juta telah berjaya menarik minat ramai penggiat seni tempatan dan antarabangsa.

Jurucakap Bahagian Pentadbiran BSLS, Jacklis Gusting berkata, dalam usia muda balai seni lukis tersebut memikul matlamat yang lebih besar iaitu mengembangkan dan mempromosikan keunikan seni visual etnik di negeri ini ke satu tahap yang lebih dinamik.

“Walaupun masih baharu, BSLS sudah mula menarik minat penggiat seni antarabangsa. Buktinya, BSLS baru saja melancarkan pameran solo Emiko Maeda, seorang artis veteran antarabangsa dari negara Jepun,” katanya kepada SayangSabah.

Beliau berkata, pelaburan RM16 juta yang dibelanjakan untuk pembinaannya bertujuan untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah pusat kesenian seni visual etnik di Malaysia menjelang tahun 2020.

Katanya, usaha ini sememangnya bertepatan sekali kerana banyak hasil seni yang menarik boleh diilhamkan daripada pakaian, seni khat, anyaman dan pelbagai corak-corak traditional daripada kelompok etnik yang ada di negeri ini.

Menurutnya, balai seni lukis ini sememangnya satu pelaburan yang wajar kerana penghayatan seni di negeri ini masih berada di tahap yang kurang memberangsangkan.

Sehubungan itu, jelasnya kepekaan dan apresiasi seni mampu ditingkatkan kerana BSLS merupakan ruang yang lebih baik untuk menempatkan hasil seni tempatan dan antarabangsa yang tidak ternilai harganya.

Secara tidak langsung, jelasnya usaha itu sudah tentu akan memudahkan karya-karya seni tersebut untuk dihayati oleh pengunjung sasaran BSLS yang terdiri daripada kalangan pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat.

“Kami merupakan sebuah galeri yang menampilkan konsep muzium dan ini dapat memelihara hasil-hasil seni yang berharga supaya dapat dihayati oleh generasi yang akan datang,” katanya.

Sejak pembinaannya, BSLS telah banyak memberikan peluang kepada penggiat seni terutamanya seniman dari negeri ini dan ia diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada mereka untuk bergiat dengan lebih aktif lagi bagi memajukan industri seni tempatan.

Oleh itu, penghayatan hasil seni yang lebih tinggi hasil daripada kewujudan BSLS diharapkan dapat meningkatkan nilai ekonomi seni itu sendiri bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai rakyat Sabah yang sememangnya berbakat. – Oleh Sukri Sarin/ SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan