Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Brunei Mahu Bina Tren Laju Rentas Borneo

BANDAR SERI BEGAWAN – Kerajaan Brunei kemungkinan besar bakal membina sistem kereta api laju rentas Borneo dengan melibatkan negara itu bersama-sama jirannya Malaysia dan Indonesia.

Media tempatan melaporkan berita gembira tersebut diumumkan oleh Menteri Perhubungan Brunei, Awang Abdul Mutalib Mohammad Yusof ketika sesi persidangan Majlis Mesyuarat Negara bagi hari ke-11 di sini, semalam.

Beliau malahan menyambut baik cadangan pembinaan tren berkenaan yang melibatkan Brunei dengan jirannya iaitu dua negeri Malaysia, Sabah dan Sarawak serta wilayah Kalimantan Barat, Selatan dan Utara di Indonesia.

“Insya-Allah, perkara ini mungkin terlalu awal untuk diberi sebarang ketetapan tetapi ada platform BIMP-EAGA (Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur) yang sudah diwujudkan sejak 1994.

“Di sini pelbagai kementerian atau pihak berkenaan secara berkala akan ada membuat perjumpaan setahun sekali bagi membincangkan sebarang isu berbangkit demi kesejahteraan semua negara yang terlibat,” jelas beliau lagi.

Awang Abdul Mutalib menyatakan demikian ketika mengulas mengenai cadangan pewujudan sistem pengangkutan awam rel pantas tersebut yang diusulkan oleh seorang anggota majlis mesyuarat tempatan, Mohamed Osman.

Majlis itu dianggap seumpama Parlimen, memandangkan Brunei tidak amal sistem politik pilihan raya; diwujudkan pada 2004 lalu oleh Sultan Hassanal Bolkiah sejajar dengan ideologi rasmi negara iaitu Melayu Islam Beraja.

Mengulas lanjut, Awang Abdul Mutalib menambah, pada peringkat kerja, perjumpaan diadakan dua kali setahun untuk membincangkan perkara besar seperti itu supaya kepentingan bersama semua empat negara terpelihara.

Untuk rekod, projek mega tersebut pernah dicadangkan Malaysia pada tahun 2000 melibatkan jarak keseluruhan 3,640 kilometer dengan kos dianggarkan bernilai RM30 bilion dan ia sepatutnya siap dibina pada 2010 lalu.

Ia dirancang menghubungkan Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Beaufort di Sabah; Miri, Bintulu, Serian, Sibu, Kuching di Sarawak serta Banjarmasin, Sampit, Balikpapan, Pontianak, Samarinda, Palangkaraya di Kalimantan.

Di Brunei, sistem itu dicadang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini selain pelabuhan laut dalam utama di Muara yang juga dermaga persinggahan banyak kapal persiaran penumpang dari luar negara.

Malangnya, projek tren laju tersebut tidak dapat diteruskan pada ketika itu atas pelbagai faktor tertentu sebelum dibangkitkan semula oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika merasmikan sistem kereta api Borneo pada 2015.

Projek prasarana tren pertama di Kalimantan itu mendapat kerjasama firma JSC Russian Railways dari Moscow, Rusia dengan meliputi dua laluan jarak sepanjang 398 kilometer bernilai AS$3.7 bilion (kira-kira RM14.5 bilion).

Pemimpin republik tersebut dikatakan berhasrat mahu menyambungkan laluan kereta api tempatan itu dengan turut menembusi negara tetangganya sekali gus merancakkan kepesatan ekonomi rantau BIMP-EAGA kelak.

Ia juga mengambil model kejayaan pembangunan sistem tren rentas sempadan antara Malaysia-Thailand dan Malaysia-Singapura termasuk projek kereta api laju melibatkan negara terbabit. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Komen


Berita Berkaitan