Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,644

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

BR1M Bakal Diteruskan Dalam Bajet 2017

11:43pm 05/09/2016 Pak Roshan 1226 views Mutakhir,Nasional

gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Program Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan kerana kerajaan komited melaksanakannya, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata selain BRIM, Bajet 2017 juga akan menangani isu berkaitan rumah mampu milik menerusi Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), kebajikan kumpulan pendapatan bawah 40 peratus (B40) dan pertengahan 40 peratus (M40).

Beliau mengulas pertanyaan mengenai fokus Bajet 2017 di sini hari ini.

“Wujud jurang dari segi memperoleh pembiayaan ke atas jumlah harga belian hartanah memandangkan bank tidak menyediakan pinjaman penuh yang pembeli mahukan, dan perkara ini perlu dikaji,” katanya kepada pemberita di luar majlis pelancaran Bursa Malaysia-i, platform pertama pelaburan Islam menyeluruh di dunia oleh Bursa Malaysia Bhd.

Beliau juga menekankan bahawa peruntukan dalam Bajet 2017 akan berasaskan kepada hasil yang diperoleh kerajaan.

“Kami akan mengkaji berdasarkan hasil kerajaan,” katanya.

Berdasarkan kedudukan ekonomi negara ketika ini serta kekangan global, beliau berkata masyarakat perlu bertanggungjawab ke atas apa yang mereka muatkan dalam media sosial kerana ia akan menyebabkan wujud ketidaktentuan dalam pasaran.

Beliau berkata ramai orang termasuk pelabur, tidak memahami sepenuhnya gambaran ekonomi Malaysia.

“Berikutan kelembapan ekonomi dunia, dan Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka, turut terjejas,” katanya.

Namun, Johari berkata Malaysia masih mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik sebanyak 4.1 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding ekonomi serantau.

Mengenai kebimbangan ke atas paras hutang kerajaan, beliau berkata angka itu masih boleh diurus selagi wujud kapasiti bagi memenuhi obligasi hutang, dan ia diambil untuk perbelanjaan infrastruktur yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, menjawap soalan mengenai bila arbitrasi antara International Petroleum Investment Co (IPIC) akan berlangsung, Johari berkata beliau tidak mengetahui tarikh sebenar.

Laporan menyebut IPIC membuat tuntutan US$6.5 bilion daripada 1Malaysia Development Bhd menerusi arbitrasi antarabangsa di mahkamah London. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan