Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Bouncer’ digantung hingga mati kerana bunuh remaja

MOHD Azmin didapati bersalah, di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu kerana membunuh Yaacob Nasran, pada Disember 2016. – Foto Mohd Adam Arinin

 

KOTA KINABALU: Seorang ‘bouncer’ atau pengawal kelab malam dihukum gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mendapati lelaki itu bersalah membunuh seorang remaja di sebuah pusat hiburan dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes tanpa keraguan terhadap tertuduh, Mohd Azmin Lidin, 30.

“Dalam hal ini, tiada keraguan munasabah bahawa tertuduh bersalah atas kesalahan dikenakan. Cuma satu hukuman disediakan dalam undang-undang untuk kesalahan ini iaitu hukuman mati,” katanya.

Azmin yang memakai baju berwarna biru dan seluar celoreng kelihatan tenang dan tersenyum dalam kandang tertuduh ketika hukuman terhadapnya dibacakan.

Dalam kejadian 15 Disember 2016, Yaacob Nasran yang berusia 18 tahun dibunuh di luar sebuah pusat hiburan, di sini.

Turut hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan kes itu ialah keluarga Yaacob, termasuk ibu bapanya, Nasran Harun @ Nigel, 55, dan Kee Faridah Kassim, 57.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Seri Rakhbir Singh, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun.

Di luar mahkamah, keluarga Yaacob dilihat saling berpelukan dan menangis sebelum Nasran didengar berkata, “Saya mahu lihat wajah dia (Azmin) untuk kali terakhir.”

Azmin yang dibawa keluar dari bilik mahkamah turut dilihat berhenti dan berkata kepada keluarga Yaacob, “Bukan saya yang bunuh anak kamu. Kamu tersalah orang.”

Keluarga Azmin yang hadir ke mahkamah juga dilihat menangis dan memeluknya sebelum dibawa oleh polis.

Sementara itu, ketika ditemui Nasran mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong keluarga itu dan menyifatkan keadilan sudah dituntut.

“Jika seseorang membunuh anak yang tidak bersalah tanpa sebab dan tidak digantung, ia menunjukkan kurangnya nilai keadilan untuk melindungi masa depan anak kita.

“Azmin, tindakan kamu menafikan hidup anak kami bermakna kamu juga menafikan hak anda untuk memelihara dan membimbing keluarga kamu,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan