Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bot tunda nyaris dirompak di perairan Tambisan

KOMANDER Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali. – Foto Ihsan Esscom

 

LAHAD DATU: Sebuah bot tunda membawa muatan minyak kelapa sawit, nyaris dirompak sekumpulan 10 lelaki di perairan Tambisan, dekat sini, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian jam 6 petang itu, bot berkenaan dalam perjalanan dari Felda Sahabat ke Kuantan, Pahang.

Namun, sebaik tiba di perairan Tambisan, sekumpulan lelaki tidak dikenali tiba-tiba menghampiri dan menaiki bot itu.

Lima kru bot terbabit berusia antara 25 hingga 45 tahun, bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam dek sebelum menghubungi pasukan keselamatan.

Tindakan kru menyebabkan penjenayah terbabit melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot pasukan keselamatan di kawasan berkenaan, manakala tiada kecederaan atau kehilangan barangan dilaporkan dalam kejadian itu.

Susulan itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali mengingatkan semua kapal atau bot yang melalui perairan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) supaya lebih berwaspada dan sentiasa memaklumkan kedudukan pergerakan mereka kepada Pusat Operasi ESSCOM.

Beliau berkata, ia penting bagi tujuan pemantauan keselamatan dan memudahkan pihak ESSCOM membantu sekiranya berlaku sebarang kejadian jenayah atau kecemasan di laut.

“Kapal atau bot juga disaran sentiasa mengaktifkan Sistem Pengesanan Automatik (AIS), melaporkan jadual perjalanan dan menggunakan panggilan kecemasan jika berlaku sebarang insiden kecemasan supaya ESSCOM dapat mengambil langkah perlu, termasuk menghantar bot keselamatan untuk membantu.

“ESSCOM tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan akan sentiasa memantau serta memperketatkan kawalan keselamatan di perairan ESSZONE, terutama di kawasan ‘hotspot’ dan yang disyaki menjadi laluan penjenayah rentas sempadan melakukan jenayah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Hazani berkata, kerjasama semua pihak amat perlu bagi memastikan keselamatan pelayaran kapal atau bot tunda di perairan ESSZONE sentiasa terjamin. – Oleh Norasikin Daineh/BH Online

Komen


Berita Berkaitan