Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,690

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Bot Tunda, Nelayan Laut Dalam Di Esszone Diminta Pasang Sistem Pengesanan Automatik

11:16pm 25/07/2016 Pak Roshan 31 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

esszone2-600x367-600x367-600x367

SANDAKAN : Pemasangan Sistem Pengesanan Automatik diwajibkan bagi bot nelayan laut dalam ketika memohon permit pengecualian Perintah Berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Polis turut meminta bot tunda memasang sistem sama bagi memudahkan pasukan keselamatan memantau pergerakan mereka khususnya di perairan Esszone yang merangkumi kawasan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun mengumumkan perkara itu hari ini selepas beliau bersama Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Bot Nelayan dan Pengusaha Bot Tunda Sabah di daerah Tawau dan Sandakan, hari ini.

Bercakap pada sidang media di sini, Abdul Rashid berkata semua pengusaha bot tunda dan persatuan nelayan dalam kawasan Esszone perlu sama-sama berganding bahu memastikan keselamatan semua petugas kru bot tunda dan nelayan di perairan Sabah.

“Jika beban kepada pasukan keselamatan tanpa kerjasama daripada mereka, objektif tak tercapai dalam kawalan keselamatan di perairan negeri ini,” katanya.

Beliau juga meminta semua bot nelayan laut dalam agar memaklumkan kepada Pusat Operasi Esscom di talian 089863181 sehari sebelum dan semasa bot mereka ingin ke laut.

Katanya bagi bot tunda, mereka perlu memaklumkan pergerakan mereka setiap satu jam sekali.

Menurutnya ini bagi membolehkan pasukan keselamatan memantau pergerakan bot mereka khususnya sekiranya berhadapan dengan apa juga permasalahan.

Abdul Rashid berkata mereka juga perlu memaklumkan setiap nombor telefon bimbit kru dan kapten bot yang keluar ke laut.

“Bagi bot nelayan laut dalam, perkara tersebut merupakan syarat utama mereka patuhi ketika memohon permit pengecualian Perintah Berkurung.

“Jika tidak penuhi perkara itu, permit pengecualian tidak akan dikeluarkan,” katanya.

Perintah Berkurung dikuatkuasakan di perairan Esszone bermula pukul 7 malam hingga 5 pagi setiap hari.

Kebenaran hanya diberikan kepada bot nelayan laut dalam beroperasi pada waktu itu dengan permit pengecualian dikeluarkan oleh pihak polis.

Abdul Rashid turut meminta nelayan di kawasan Esszone supaya lebih peka dan memberi kerjasama sekiranya melihat pergerakan bot pam dan bot yang mencurigakan ketika waktu Perintah Berkurung berkuat kuasa.

Menurutnya sekiranya semua pihak memberi kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan, jenayah di perairan negeri ini dapat ditangani.

Beliau memberi contoh kerjasama baik diberikan pengusaha pusat pelancongan di kawasan Esszone yang berjaya membantu usaha meningkatkan keselamatan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan