Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Bolehkan Wanita Hamil Dan Menyusu Anak Berpuasa Di Bulan Ramadhan?

9:30am 22/06/2016 Zakir Sayang Sabah 200 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Soalan:

Sesetengah wanita mengandung dan menyusu setiap tahun. Amat sukar bagi mereka untuk berpuasa dan menggantikan puasa jika keadaan demikian. Adakah di sana pandangan fekah yang lebih mudah untuk golongan seperti ini?

Jawapan:

1. Fuqaha (sarjana fekah) bersepakat bahawa wanita hamil dan menyusu boleh berbuka puasa mereka jika tidak mampu. Bahkan wajib untuk mereka berbuka jika membahayakan diri ataupun anak dan janin.

2. Adapun gantian bagi puasa yang mereka buka itu merupakah masalah khilafiyyah yang para fuqaha berbeza pendapat mengenainya.

Ada yang mewajib qada dan kifarah seperti Mazhab Syafie dan Hanbali. Di samping mereka membezakan antara berbuka puasa kerana bimbang keselamatan diri dan keselamatan anak.

Ada yang mewajibkan qada sahaja di mana mereka seperti keadaan orang yang sakit. Ini pandangan Sufyan al-Thauri, Mazhab Hanafi dan lain-lain.

Ada yang memberi pilihan antara qada dan kifarah seperti pandangan Ishaq bin Rahuyah (atau dibaca Rahawaih) seperti yang disebut oleh al-Imam al-Tirmizi dalam sunannya.

Ada yang tidak mewajibkan qada dan tidak juga kifarah seperti Mazhab Ibn Hazm al-Andalusi dan ini dianggap ganjil oleh sesetengah ulama.

3. Ya! di sana sebenarnya ada pandangan dari dua tokoh ilmuwan sahabat Nabi iaitu ‘Abdullah bin ‘Abbas dan ‘Abdullah bin ‘Umar telah berfatwa dengan fatwa yang meringan bebanan wanita yang mengandung dan menyusukan anak tanpa mengira samada wanita itu kerap mengandung ataupun tidak.

Menurut mereka berdua wanita yang mengandung dan menyusu jika buka puasa kerana bimbang keadaan diri ataupun anak hanyalah perlu membayar fidyah (beri makan orang miskin) tidak wajib qada (ganti) puasa.

4. Dalam riwayat al-Tabari dengan sanad yang sahih Ibn ‘Abbas menyebut:

“Jika wanita hamil bimbang terhadap dirinya, wanita menyusu bimbang terhadap anaknya pada bulan Ramadan maka dia boleh berbuka serta ganti setiap hari dengan memberi makan orang miskin dan tidak perlu ganti puasa”

Dalam riwayat al-Daraqutni dengan sanad yang sahih, Ibn ‘Umar atau Ibn ‘Abbas berkata:

“Wanita yang hamil dan menyusu boleh berbuka tak perlu qada”

Dalam riwayat sahih al-Daraqutni juga:

“Isteri Ibn ‘Umar yang hamil bertanya tentang puasanya, jawab Ibn ‘Umar: “Kamu boleh buka dan beri makan setiap hari seorang miskin, tidak perlu qada (ganti puasa)”.

5. Maka wanita yang menyusu atau hamil itu jika mampu berpuasa, maka wajib mereka berpuasa. Jika tidak mampu mereka boleh berbuka dan diganti pada hari yang lain. Jika dia sekadar mengganti puasa sahaja, maka itu juga memadai.

Ini pendapat yang dipilih oleh sebahagian para ulama. Jika keadaan yang sukar seperti dia sentiasa mengandung dan menyusu saban tahun disebabkan kekerapan anak dan menggantikan puasa menjadi beban untuk dihimpunkan selepas itu, maka jika dia sekadar membayar fidyah sahaja, maka itu merupakan salah satu pendapat fekah yang boleh diamalkan.

Islam itu bersifat mudah dan memberikan kelonggaran kepada mereka yang kesusahan.

6. Maka, Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar itu lebih memudahkan kaum wanita yang mengandung yang biasanya memakan masa selama 9 bulan kemudian kemudian diikuti dengan kelahiran dan menyusukan anak pula selama 2 tahun.

Jika mereka diwajibkan qada tentu satu yang agak membebankan untuk menghimpunkan semua yang mereka tinggal dalam tempoh tersebut. Apatahlagi jika tahun berikutnya mereka mengandung lagi.


(Sumber: Tazkirah.net, oleh Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan