Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

BN prihatin sediakan rumah ibadat rakyat berbilang kaum di Sabah: Radin

rumah ibadat sabah

TENOM : Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited dan prihatin untuk menyediakan kemudahan-kemudahan rumah ibadat kepada rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh berkata, ini kerana kerajaan menyedari kemajuan sosioekonomi itu haruslah seiring dengan pembangunan kerohanian rakyat bagi melahirkan warganegara yang bermoral, mempunyai budi pekerti yang baik serta mempunyai sikap toleransi yang tinggi di antara satu sama lain.

Katanya, walaupun agama Islam merupakan agama rasmi negara ini namun masyarakat bukan Islam khususnya di negeri Sabah bebas untuk mengamalkan agama mereka masing-masing.

“Beberapa isu perundangan yang berkaitan dengan kepercayaan masyarakat bukan Islam seperti isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Malaysia juga tidak akan menggugat keharmonian dan persefahaman yang telah lama terjalin di kalangan rakyat yang beragama Islam dan bukan Islam di negeri Sabah,” katanya.

Sebaliknya kata Radin, isu-isu tersebut juga telah meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat khususnya di Semenanjung Malaysia terhadap amalan hidup masyarakat Sabah yang sentiasa menghormati kepercayaan masing-masing.

“Saya bersyukur kerana masyarakat Islam dan Kristian di negeri Sabah sentiasa saling memahami dan saling menghormati kepercayaan masing-masing. Saya juga mempunyai sanak-saudara yang menganuti agama Islam, namun perbezaan agama kami itu bukan menjadi penghalang kepada kami untuk sentiasa berinteraksi di antara satu sama lain,” jelas Radin.

Radin berkata demikian di majlis berbuka puasa bersama-sama dengan komuniti Islam bertempat di perkarangan surau Kg. Karangan Baru, Tenom pada Ahad lalu.

Turut hadir di majlis berbuka puasa itu, Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raimie Unggi, Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layappan, para pemimpin masyarakat dan penduduk Kg. Karangan Baru, Tenom.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Melalap menyeru rakyat berbilang kaum di negeri ini khususnya para penduduk di daerah Tenom agar sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bersatu demi kesejahteraan hidup dan kemajuan kawasan mereka.

Katanya, persefahaman yang tinggi di kalangan penduduk Sabah yang berbilang kaum dan agama juga telah menjadi contoh teladan kepada kaum-kaum lain di negara ini.

Radin yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata PBS sebagai parti komponen BN juga sentiasa komited dengan perjuangannya untuk mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

PBS, katanya juga menyokong tindakan-tindakan tegas yang akan dilakukan oleh kerajaan terhadap mana-mana golongan pelampau agama dan perkauman yang menjalankan kegiatan-kegiatan yang boleh menggugatkan keselamatan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, Rukunegara serta gagasan 1Malaysia.

Komen


Berita Berkaitan