Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,649

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Bintulu Bersedia Jadi Hos Sambutan Hari Malaysia Esok

2:11pm 15/09/2016 Pak Roshan 59 views Berita Pilihan,Mutakhir,Nasional

HARI MALAYSIA

BINTULU – Bandar Bintulu kini bersedia untuk menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2016 di tapak lapangan terbang lama esok.

Mempunyai populasi kira-kira 500,000 orang pada masa kini, bandar itu berkembang pesat daripada sekadar bandar nelayan kecil pada awal 1960-an kepada satu daripada bandar terbesar di Sarawak dengan penemuan minyak dan gas pada 1970-an.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata ini merupakan antara faktor Bintulu dipilih sebagai tuan rumah pada sambutan kali ini.

“Bintulu juga terletak secara strategik di pusat negeri. Dengan akses yang mudah, orang ramai boleh datang ke bandar ini dan bersama-sama memeriahkan sambutan itu,” katanya.

Masing yang juga menteri yang bertanggungjawab bagi sambutan itu berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan perlumbaan bot laju di sungai Kemena bersempena dengan sambutan itu di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, bandar ini juga menjadi lokasi Persidangan Dewan Undangan Negeri yang pertama pada 8 September 1867 ketika pemerintahan Raja Putih di negeri ini.

Dewan Undangan Negeri ketika itu dikenali sebagai Majlis Umum yang dibentuk oleh Charles Brooke, Raja Muda Sarawak atas perintah Raja Sarawak James Brooke.

“Bagi saya, ini juga merupakan tarikh yang amat penting dalam sejarah kita dan kepentingan sejarah yang besar. Malaysia ditubuhkan pada 16 Sept 1963. Ini adalah amat penting buat Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” kata Masing.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka tiba di sini esok dan akan menghadiri acara itu di lapangan terbang lama di sini malam esok sebagai kemuncak sambutan Hari Malaysia.

Yang Dipertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bersama isteri masing-masing turut dijangka menghadiri sambutan itu.

Terdahulu, selepas menunaikan solat Jumaat di masjid bandar, Najib dijadualkan menghadiri pertemuan dengan kakitangan Petronas di Pusat Sivik Bintulu di sini. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan