Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bicara Lahad Datu: Polis Ditembak Waktu Cuba Ambil Mayat

bicara tanduo

KOTA KINABALU – Tembakan dilepaskan terhadap anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) yang cuba mengambil mayat yang dikebumikan di dalam sebuah lubang di atas tanah di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Lahad Datu, Insp Abdul Mutalib Harun berkata insiden itu berlaku kira-kira 1 tengah hari pada 6 Mac, 2013 apabila sekumpulan anggota dari Unit Forensik CID hendak turun ke dalam lubang sedalam lima kaki untuk mengambil mayat.

Pada masa yang sama, beliau berkata seorang pegawai tentera memekik “semua polis berundur ke belakang cepat” dengan mengarahkan kesemua 15 pegawai dan 75 anggota dari CID untuk berlindung.

“Ketika Unit Forensik hendak turun ke dalam lubang tersebut, satu tembakan bertalu-talu secara automatik datang dari arah depan.

“Dalam masa sama, pihak tentera telah maju ke depan dan membalas tembakan,” kata beliau ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Abdul Mutalib memberitahu mahkamah bahawa sepasukan komando VAT69 juga tiba untuk memberi bantuan dalam insiden tembak-menembak itu.

Ketika pasukan CID berlindung di belakang 15 kenderaan polis yang digunakan untuk masuk ke kampung itu, saksi itu berkata beliau terdengar satu suara daripada kalangan tentera yang menjerit “enam orang musuh ada di sebelah kanan”.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, saksi itu berkata tembakan itu bukan sahaja datang dari arah hadapan tetapi juga dari sebelah kanan kedudukan polis dengan menggunakan senapang automatik.

Abdul Mutalib berkata tembak-menembak itu berterusan selama kira-kira 45 minit tetapi pasukan tentera memberitahu pasukan CID itu supaya terus berlindung.

“Lebih kurang dua jam kemudian (selepas tembak-menembak berhenti), kami diberitahu oleh beberapa pegawai tentera bahawa keadaan sudah terkawal.

“Bagaimanapun, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah ketika itu ACP Mohd Shariff Abd Wahid telah mengarahkan pasukan JSJ keluar dari Kampung Tanduo,” kata beliau dan menambah mereka gagal mengambil mayat-mayat itu.

Abdul Mutalib berkata enam kereta perisai mengiringi pasukan JSJ keluar ke jalan utama, kira-kira 5km dari kampung, manakala dua buah helikopter angkatan tentera berlegar di kawasan itu.

Terdahulu, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa Pesuruhjaya Polis Sabah ketika itu, Datuk Hamza Taib telah mengarahkan beliau untuk menunjuk arah kepada sebuah pasukan terdiri daripada beberapa unit dari JSJ diketuai Mohd Shariff masuk ke Kampung Tanduo untuk mengambil mayat.

Saksi itu berkata apabila beliau dan pasukan JSJ tiba di kampung itu kira-kira 11 pagi pada hari berkenaan, kira-kira 200 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia menunggu ketibaan mereka di sempadan kampung.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa pasukan JSJ meletakkan kenderaan mereka di sebuah rumah kira-kira 100 meter dari lubang mengandungi mayat-mayat itu.

Di rumah tersebut, satu mayat telah ditemui dan dipindahkan ke sebuah trak polis, katanya.

“Saya bersama ACP Mohd Shariff telah menghampiri satu timbunan pelepah kelapa sawit yang telah mati dan saya nampak beberapa papan terdedah daripada timbunan pelepah tersebut dan ada bau yang sangat busuk.

“Saya nampak ACP Mohd Shariff mengarahkan Unit Pemusnah Bom Polis untuk membuka timbunan pelepah tersebut satu persatu untuk memastikan tiada sebarang senjata atau bahan letupan diletakkan di situ,” katanya dan menambah anggota anggota JSJ yang lain dan tentera berpatah balik ke kawasan selamat sementara Pasukan Pemusnah Bom melaksanakan arahan Mohd Shariff.

Abdul Mutalib berkata kira-kira 1 tengah hari, seorang pegawai daripada Unit Pemusnah Bom memberitahu Mohd Shariff bahawa lubang itu bebas daripada bahaya senjata dan bahan letupan dan terdapat sembilan mayat penceroboh, berpakaian tentera lengkap yang hampir reput.

Ketika diminta menceritakan keadaan mayat, saksi itu berkata semua sembilan anggota penceroboh yang mati itu memakai kasut but tentera dan sesetengah mereka retak tengkorak.

“Mayat-mayat mengeluarkan bau busuk dan berair warna hijau serta dipenuhi ulat,” kata saksi itu.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

-BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan