Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,415

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Betapa Tinggi Dan Mulianya Darjat Wanita

4:38pm 28/03/2017 Zikri Zainudin 94 views i-Muslim

Gambar Hiasan

Pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir membawa rahmat kepada seluruh alam.

Di antara rahmat yang didatangkan melalui syariat yang dibawa oleh baginda SAW ialah mengangkat darjat dan martabat wanita kepada satu kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Islam.

Islam telah menetapkan hak-hak wanita dengan sempurna tanpa pengurangan sedikit pun. Al-Quran sendiri ada menjelaskan bahawa wanita merupakan salah satu unsur yang turut bergiat seiring kaum lelaki membangunkan masyarakat, menjaga keutuhan dan kesejahteraan ummah.

Wanita dan lelaki adalah sama dari segi kemanusiaannya di mana kedua-duanya mempunyai hak dan kewajipan yang sama dalam melaksanakan tugas dan amanah Ad-Deen ini.

Islam juga memerintahkan kita supaya memuliakan wanita, sama ada sebagai anak, isteri apatah lagi sebagai ibu.

Islam telah mengancam keras perbuatan menguburkan anak perempuan hidup-hidup seperti yang dilakukan oleh orang Arab di zaman jahiliyah dahulu.

Kehadiran anak perempuan harus disambut dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur seperti menyambut anak lelaki.

Malahan ibu bapa bertanggungjawab mengasuh, menjaga dan mendidiknya dan menyempurnakan haknya sama seperti Islam juga memuliakan wanita sebagai isteri.

Melalui kalam Baginda SAW sendiri ada menyatakan bahawa kesenangan dunia yang paling baik ialah isteri yang solehah yang mana apabila si suami memandangnya, terbit rasa gembira, dan jika si suami berjauhan darinya dia akan menjaga nama baik suaminya itu.

Apatah lagi Islam secara jelas telah mengangkat darjat dan kemuliaan kedudukan wanita sebagai seorang ibu melalui kalamullah ayat ke-15 surah Al-Ahqaf yang bermaksud:

”Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya menghamilkan dia dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah”.

Islam juga menganjurkan supaya wanita diberi peluang untuk mendapatkan pelajaran sama seperti kaum lelaki sama ada ilmu yang berupa fardhu ain mahupun fardhu kifayah.

Wanita perlu mendapat pendidikan yang akan menjadikannya seorang muslimah yang sejati, berilmu pengetahuan dan terlatih dengan kemahiran-kemahiran sebagai seorang wanita.

Pendidikan yang baik akan menjadikan wanita Islam berperanan sebagai tenaga pembantu yang penting di dalam membangunkan ummah bersama-sama kaum lelaki.

Begitu juga dari sudut institusi kekeluargaan, Islam telah menetapkan asas-asas institusi keluarga yang menjamin kepentingan wanita. Umpamanya wanita yang belum dewasa dilindungi di bawah penjagaan walinya.

Malah terdapat undang-undang nikah kahwin yang memberikan kebebasan kepada wanita untuk memilih memilih bakal suaminya menurut ketetapan-ketetapan syarak.

Wanita juga mempunyai hak menetapkan mahar, hak ke atas mahar yang telah diberikan oleh suaminya dan hak untuk mendapat nafkah daripada suaminya setelah termetrinya aqad nikah.

Selain itu Islam mengatur undang-undang rumah tangga di mana hak suami dan isteri telah ditetapkan secara jelas. Garis panduan dan hak ketika berlaku poligami, talaq atau penceraian untuk kaum wanita juga ada ditetapkan di dalam Islam.

Islam juga mengiktiraf hak wanita untuk mewarisi harta dalam apa jua bentuk sekalipun. Wanita boleh mewarisi harta daripada bapa, suami, anak-anak dan kaum kerabat.

Malahan wanita juga diizinkan syara’ untuk melaburkan hartanya menurut apa-apa cara yang difikirkan paling baik.

Dalam hal ini wanita bebas dan tidak terikat dengan sesiapa dalam urusan pentadbiran hak miliknya.

Justeru, wanita muslimah haruslah memahami dan menginsafi betapa tinggi dan mulianya darjat dan maruah wanita di sisi Islam.

Seterusnya menzahirkan rasa syukur atas nikmat ini dengan melonjakkan diri untuk terus merasa izzah dan mencipta sesuatu yang hebat demi ummah dan Islam ini sendiri.

(Sumber: iluvislam oleh Muhammad Faidhi bin Azis)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan