Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,727

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Bersikap Adil Terhadap Kewujudan Esscom, Kata Majlis Permuafakatan Suluk Sabah

6:11pm 15/09/2016 Pak Roshan 148 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

Mohd-Zakih

TAWAU : Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) mahu masyarakat setempat tidak melemparkan pandangan negatif terhadap pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) apabila berlaku jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone).

Setiausahanya Mohd Zaki Harry Susanto berkata masyarakat harus bersifat adil kepada Esscom kerana pasukan keselamatan itu telah berjaya mengekang banyak cubaan penjenayah rentas sempadan yang membolosi perairan Sabah.

“Kita harus lebih adil… mengapa mesti menutup Esscom, itu adalah tindakan kurang bijak… kalau dikaitkan dengan penculikan terbaru (di Esszone) yang berlaku dalam tempoh perintah berkurung,” katanya kepada Bernama, Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bumiputera Bajau Semporna (Perbubas) Mansor Santiri yang mencadangkan agar ESSCOM ditutup ekoran insiden penculikan tiga nelayan warga Filipina yang memiliki dokumen IMM13 di perairan Pulau Pom Pom di Semporna pada Sabtu lepas.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sejak 2014 hingga Mei tahun ini Esscom berjaya mematahkan 15 cubaan culik di perairan Esszone.

Daripada jumlah itu ia termasuk cubaan enam penculikan yang digagalkan sejak Januari hingga Mei tahun ini.

Dalam pada itu, kalangan penduduk di perairan Esszone terus menaruh harapan kepada Esscom untuk menjalankan tugas menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara daripada dicerobohi oleh kegiatan jenayah penculikan dan penyeludupan.

Bagi Mohd Fadilah Nasron,33, penduduk setempat perlu memberi kepercayaan dan peluang kepada Esssc untuk menjaga keselamatan perairan Sabah.

“Boleh dikatakan usia Esscom masih setahun jagung, masih banyak yang boleh Esscom perbaiki… Esscom masih diperlukan di sini terutama dalam memastikan Sabah terus aman, damai dan selamat,” katanya.

Menurutnya, tanggapan negatif terhadap Esscom tidak akan membantu mengawal keselamatan di perairan Sabah sebaliknya sumbangan idea memantapkan kawalan perairan, kerjasama termasuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan adalah lebih penting.

Asmah Ali, 20-an yang menetap di Kunak berkata Esscom masih diperlukan untuk mengukuhkan lagi barisan pasukan keselamatan di perairan pantai timur Sabah khususnya perairan di daerah yang kerap diceroboh termasuk Semporna dan Lahad Datu.

“Saya tidak melihat kenapa Esscom perlu dibubarkan sebab mereka ini sendiri turun padang bersama penduduk khususnya di Kunak ini untuk meninjau keselamatan.

“Esscom komited dalam menjalankan tugas mereka dan jika ada penambahbaikan yang boleh dilakukan mungkin penambahan anggota bagi memantapkan lagi tugasan memantau dan mengawal perairan Esszone,” katanya.

Asmah berkata inisiatif Esscom menjalankan bancian bertujuan melengkapkan data dan maklumat taburan serta demografi masyarakat Palauh di daerah Kunak termasuk mereka berstatus warganegara dan bukan warganegara merupakan antara sebahagian usaha Esscom memantau keselamatan Sabah.

Esscom yang ditubuhkan pada 1 April 2013 susulan pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo bertanggungjawab mengawal keselamatan di Esszone meliputi kawasan sepanjang 1,733.7 kilometer (km) dan keluasannya sekitar 100,000km persegi melibatkan 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan