Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bersalin dan berpantang dalam penjara

bersalin di penjara

KLUANG – Bersalin dan berpantang dalam penjara merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat seorang ibu muda selepas ditangkap pihak berkuasa ketika mahu pulang ke tanah airnya di Indonesia.

Penghuni banduan yang mahu dikenali sebagai Tami, 27, ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana pas perjalanannya sudah tamat tempoh.

Menurutnya, ketika itu dia bersama suami mahu pulang ke kampung halaman kerana ingin menyambut Ramadan bersama ahli keluarga di seberang.

“Tetapi nasib tidak menyebelahi saya, manakala suami pula terselamat kerana pas perjalanannya masih hidup, tetapi saya punya pas perjalanan sudah mati dua bulan.

“Saya ditangkap pada bulan April dan ketika itu saya sedang hamil tujuh bulan. Saya tidak menjangka akan bersalin dalam penjara.

“Saya mengandung anak kedua dan pengalaman bersalin dalam penjara merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup ” katanya, di sini.

Tami yang bekerja di sebuah kilang di Skudai, Johor Bahru turut mengakui keadaan di dalam dan luar penjara amat berbeza.

Katanya, bagaimanapun dia dilayan dengan baik oleh kakitangan penjara sepanjang tempoh berpantang.

Dia berkata, berpantang dalam penjara tidak seperti di rumah yang memerlukan dirinya berurut dan makan jamu mengikut masa yang ditetapkan.

“Dalam penjara ini kita berpantang sendiri, namun saya bersyukur apabila hukuman saya tidak seberat mana.

“Kita ada banyak masa dengan bayi dan diasingkan dengan banduan-banduan lain.

“Saya dapat memantau sendiri bayi dan kadang-kadang ada pegawai yang tolong menjaganya,” katanya.

Katanya. keistimewaan itu sememangnya dirasai sendiri olehnya di penjara ini.

“Saya tidak pernah merungut malah bersyukur dilayan dengan baik.

“Kita tidak perlu fikir pakaian bayi atau sebagainya kerana dalam penjara ini ada sahaja yang menghulurkan sumbangan dan ahli keluarga saya hanya membekalkan apa yang saya perlu sahaja,” katanya.

Tami berkata, dia akan dibebaskan pada Oktober ini, dan ketika itu dia sudah habis berpantang.

Menjadi harapannya anak yang dilahirkan itu dapat membesar dengan sihat serta menjadi anak yang solehah.

“Apabila saya dibebaskan nanti sudah pasti saya akan merindui rakan yang berada di dalam penjara ini.

“Ada di antara mereka mempunyai anak dan terpaksa membesarkannya sementara menanti mereka dibebaskan,” katanya.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak penjara Kluang kerana melayan saya dengan baik sepanjang saya  mengandung dan berpantang di sini,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan