Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Berpolitik Guna Fakta Tepat – Salleh Said

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak hari ini membidas tindakan segelintir pihak yang sering berpolitik menggunakan fakta tidak tepat berhubung keadaan ekonomi dan kestabilan negara.

Beliau menegaskan bahawa fakta tepat adalah penting untuk imej negara, kestabilan politik dan keyakinan pelabur kepada negara.

“Dalam berpolitik, kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam soal menjaga negara, itu adalah tanggungjawab kita semua.

“Sebab itu, apabila kita mahu memberi komen tentang ekonomi negara, adalah salah jika kita mendakwa kedudukan ekonomi negara merudum dan bankrap. Dakwaan ini jauh dari fakta yang betul,” kata Salleh dalam catatan blog beliau hari ini.

Sambil mempersoal rasional segelintir pihak yang sering melabelkan ekonomi negara merudum dan bankrap, Salleh menarik perhatian mengenai data-data yang menunjukkan kedudukan ekonomi negara yang semakin kukuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Trading Economics 2017 melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang pada kadar 5.6 peratus dalam suku pertama tahun ini berbanding 1998 (-7.36 peratus), 2008 (3.32 peratus) dan 2009 (-2.53 peratus).

“Fakta tepat ini perlu untuk menjaga imej negara dan pemimpin negara. Kita boleh tidak bersetuju dengan pemimpin, tetapi mempotretkan gambaran yang tidak betul tentang perbuatan baik pemimpin adalah moral politik yang salah,” katanya.

Salleh berkata tuduhan bahawa perdana menteri sering boros dan merugikan wang rakyat kerana kerap ke luar negara juga adalah fakta yang salah kerana Najib ke luar negara untuk menarik pelaburan luar dan bukannya melancong.

“Misalnya, lawatan perdana menteri ke India menghasilkan nilai pelaburan sebanyak RM159 bilion. Lawatan perdana menteri ke China pula menarik masuk pelaburan bernilai RM144 bilion.

“Dengan hasil pelaburan langsung asing sebanyak ini, kita membangunkan Projek Pelabuhan Pulau Carey yang bernilai US$9.39 bilion, Robotic Future City di Johor Bahru seluas 404.6 hektar yang bernilai RM15 bilion dan lainnya,” katanya.

Menurutnya hasil daripada pembinaan projek itu, rakyat mempunyai pekerjaan dan ekonomi negara bergerak maju.

Salleh turut hairan apabila ada pihak mendakwa Malaysia adalah negara yang gagal sedangkan laporan World Competitiveness Yearbook 2017 mencatatkan Malaysia berada di kedudukan ke-24 daripada 63 negara paling berdaya saing di dunia berbanding negara-negara lain ASEAN seperti Thailand di tangga ke-27, Filipina (41) dan Indonesia (42) manakala Myanmar, Vietnam, Laos, Kemboja dan Brunei tidak termasuk dalam senarai 63 negara itu.

“Justeru, politik dengan fakta yang tidak tepat itu perlu dihentikan kerana fakta-fakta palsu itu boleh memberi impak kepada pembangunan dan keselamatan negara,” kata Salleh. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan