Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,646

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Beri Perhatian Serius Terhadap Penyebaran Ajaran Sesat

tawfiq-ibu-tungal-600x367

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan

TAWAU – Pihak berkuasa, khususnya badan agama, diminta supaya memandang serius penularan dan ancaman pelbagai ajaran sesat di negara ini termasuk di Tawau, sebelum fenomena itu menjadi tidak terkawal, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Katanya tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat kerana gerakan serta kegiatan seperti itu boleh mengancam keamanan, keselamatan dan keharmonian masyarakat dan negara.

“Tujuannya adalah bagi mengawal dan menangani ancaman kegiatan itu dengan lebih berkesan dan tuntas. Orang ramai terutama sekali umat Islam perlu tampil memberi maklumat mengenai kegiatan kumpulan ajaran sesat kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Suai Kenal dan Sukaneka Rukun Tetangga (RT) Taman Apas Permai di sini, hari ini.

Tawfiq berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari E.M Hadzeer semalam bahawa 50 orang pengikut ajaran sesat Millah Abraham turut dikesan di daerah ini.

Katanya Sabah, khasnya Tawau, terdedah dengan pelbagai ancaman ajaran sesat kerana ia berada di wilayah persempadanan yang mudah mengakses pelbagai kegiatan ajaran sesat dari negara luar.

Sehubungan itu, Tawfiq menggesa belia-belia agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai ajaran songsang yang tidak selari dengan pegangan rasmi negara dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan berkaitan agama dengan pihak berkaitan.

“Belajar agama dengan pihak yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memahami agama dan mengetahui yang mana betul dan tidak,” katanya.

Tawfiq turut meminta JHEAINS dan JAKIM sentiasa mempertingkatkan kegiatan dakwah dalam usaha memberi penjelasan dan penerangan ke peringkat akar umbi agar masyarakat mengetahui sekaligus menghindarkan diri daripada ajaran sesat. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan