Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Beri peluang kepada UMNO bertanding di Parlimen Batu Sapi

10:27pm 10/09/2016 Leolerry Lajius 49 views Sandakan,Tempatan

SANDAKAN: Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu Sapi sebulat suara menggesa pucuk pimpinan agar mempertimbangkan memberikan kerusi Parlimen Batu Sapi kepada calon daripada parti UMNO pada pilihan raya akan datang.

Keputusan itu dicapai melalui satu usul yang dikemukakan pada akhir persidangan berkenaan dan dipersetujui sebulat suara oleh 508 anggota perwakilan yang hadir.

Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya berkata, usul berkenaan dikemukakan bersesuaian dengan keadaan dan tuntutan semasa bagi membolehkan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, tiba masanya pucuk pimpian BN tidak lagi menjadikan pembahagian kerusi mengikut tradisi sedangkan banyak faktor yang perlu diambil kira bagi membolehkan calon BN menang selesa.

“Usul berkenaan antara lain meminta supaya dikaji semula formula agihan kerusi tidak lagi mengikut kuota parti tetapi berdasarkan majoriti penduduk dan populariti di sesuatu kawasan.

“Calon-calon perlu dipilih berdasarkan kepada potensi kemenangan selain terdiri daripada individu yang sering turun padang bertemu dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Perwakilan UMNO Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan.

Seramai 508 perwakilan hadir pada mesyuarat itu terdiri UMNO bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian serta ketua-ketua cawangan UMNO Batu Sapi.

Turut hadir sama wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Jusli Ajirul yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Libaran.

Beliau berkata, selain kriteria berdasarkan majoriti populasi kaum di sesuatu kawasan, calon yang terpilih juga perlu mempunyai trek rekod cemerlang berkhidmat kepada rakyat setempat.

“Tiba masanya pimpinan BN membuat pertimbangkan dengan lebih tepat dalam memilih seseorang calon iaitu berdasarkan kelayakannya dan kelebihan yang dimiliki.

“Kita tidak lagi boleh berpandukan kepada kriteria tradisi seperti jika calon parti A menjadi calon di sesuatu kawasan, tidak lagi boleh ditukar kepada calon parti B sedangkan calon parti B lebih layak dan mampu memberikan kemenangan selesa,” tambah beliau.

Katanya lagi, berdasarkan kepada pengundi Bumiputera di kawasan Parlimen Batu Sapi yang mencecah 71 peratus adalah wajar kawasan itu diberikan kepada calon daripada UMNO pada pilihan raya akan datang.

“Desakan ini bukan berdasarkan kepada emosi dan faktor-faktor lain tetapi demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat serta pengundi di kawasan Batu Sapi juga.

“Kita yakin apabila kawasan ini diwakili oleh UMNO, tahap pembelaan dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya akan lebih baik dan sebarang pelaksanaan program pembangunan rakyat dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” ujar beliau./SayangSabah

Semangat UMNO Batu Sapi bergambar kenangan bersama para perwakilan UMNO Batu Sapi.

Semangat UMNO Batu Sapi bergambar kenangan bersama para perwakilan UMNO Batu Sapi.

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan