Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Berhati-hati keluarkan kenyataan: Patrick Sindu

KOTA KINABALU – Semua pihak termasuk pemimpin negara harus berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan bagi mengelak timbulnya isu perkauman.

Aktivis masyarakat dan hak asasi manusia, Datuk Patrick Sindu berkata, walaupun nasihat atau gesaan itu bertujuan baik, namun mereka perlu berhati-hati dengan kenyataan itu agar ia tidak mengguris perasaan pihak lain.

“Pemimpin tidak seharusnya menyebut peniaga daripada keturunan atau bangsa mana apabila memberi nasihat kepada pengguna. Saya menyokong kenyataan beliau (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri) untuk memboikot peniaga tidak menurunkan harga barang tetapi seseorang menteri tidak seharusnya bercakap seperti itu kerana ia sudah menjadi isu perkauman,” katanya, di sini hari ini.

Patrick mengulas kenyataan Ismail Sabri melalui laman Facebook baru-baru ini, berkaitan nasihat kepada pengguna Melayu supaya memboikot peniaga kaum Cina yang tidak menurunkan harga barang.

Menurut Patrick, bukan semua peniaga yang tidak menurunkan harga barang adalah peniaga Cina, ada juga peniaga daripada kaum-kaum lain.

“Walaupun nasihat menteri berkenaan bertujuan baik namun ia telah menguris perasaan kaum berkenaan. Oleh itu, saya meminta kepada para pemimpin, apabila memberikan nasihat, tidak perlu sebut kaum pengguna atau peniaga kerana negara kita berbilang bangsa dan agama,” ujarnya.

Ismail Sabri sebelum ini menjelaskan bahawa kenyatannya itu bukan ditujukan kepada peniaga kaum Cina tetapi kepada semua pemborong dan peniaga yang masih tidak mahu menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan.

Berkenaan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Patrick meminta kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan GST di Sabah dan Sarawak kerana kemudahan asas termasuk perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini dan Sarawak belum setaraf dengan kemudahan asas yang ada di Semenanjung dan negara-negara maju lain.

“Sekiranya GST dilaksanakan pada April ini, ia akan memberikan impak besar kepada para pengguna di negeri ini kerana kemudahan asas di Sabah masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan. Penangguhan GST juga penting bagi mengurangkan beban kewangan pengguna.

“Oleh itu saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menangguhkan pelaksanaan GST di Sabah dan Sarawak sehingga ke satu masa di mana kemudahan asas kedua-dua negeri ini memuaskan dan tidak membebankan kepada pengguna,” jelasnya. – oleh Monica Gidong / SayangSabah.

Komen


Berita Berkaitan