Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Beralih tenaga bersih, jadikan Sabah peneraju serantau industri hijau

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) — Land Empowerment Animals People (LEAP) mencadangkan agar Kerajaan Negeri Sabah meneliti kembali Laporan Opsyen Tenaga Bersih untuk Sabah pada 2010 serta mengalih tumpuannya kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui.

Cynthia Ong. Gambar Fail SNT

Pengerusi eksekutif LEAP, Cynthia Ong berkata laporan itu, antara lain, menyebut mengenai kewujudan opsyen bagi bekalan tenaga lestari tempatan yang lebih relevan dengan keadaan semasa serta komitmen Malaysia untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan pelepasan karbon.

“Sabah telah merintis jalan melalui beberapa keputusannya untuk memelihara habitat serta meningkatkan taraf kehidupan. Ini termasuk komitmen negeri ini untuk menambah baik amalan berkaitan pengeluaran minyak sawit dengan menggunakan proses persijilan dan standard. Menggunakan bahan sisa minyak sawit untuk menghasilkan tenaga untuk disalurkan ke dalam sistem grid juga boleh menarik lebih banyak sokongan terhadap usaha Sabah untuk membekalkan pasaran global dengan minyak sawit premium yang diperakui.

“Kita kehilangan momentum selepas laporan itu dikeluarkan, tetapi apabila Kerajaan Persekutuan mengambil langkah untuk memajukan lagi tenaga boleh diperbaharui, ini memberi peluang kepada Sabah untuk melakukan inovasi serta menjadi perintis bagi industri tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LEAP adalah antara lima badan yang menubuhkan Green SURF pada 2009, di samping Pertubuhan Perkongsian Komuniti (PACOS Trust), Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (SEPA), Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Sabah dan WWF-Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, yang baru-baru ini menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad untuk mendapatkan arang batu dari Malaysia Timur, menegaskan pada Isnin bahawa cadangan itu sekurang-kurangnya perlu dikaji dan dibuat perbandingan dengan Sarawak, yang pernah membantah pembinaan Empangan Bakun, tetapi kini mampu membekalkan tenaga pada kadar bayaran lebih rendah berbanding Sabah.

“Kami mengesyorkan agar Kerajaan Negeri memfokuskan masa dan sumbernya untuk melabur dalam opsyen tenaga boleh diperbaharui dan lebih bersih bagi Sabah, bukan terhadap potensi tenaga arang batu, suatu industri yang semakin lenyap di seluruh dunia.

“Para pakar tenaga Malaysia dan antarabangsa, termasuk Tonibung dari Sabah, yang terkenal kerana kerja mikrohidro berasaskan komunitinya, dan Renewable and Appropriate Energy Laboratory di University of California, Berkeley, serta sesetengah daripada kami dalam masyarakat sivil, bersedia untuk membantu Sabah membina sebuah ‘suite’ prototaip yang menggunakan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui bagi menunjukkan apa yang boleh dilakukan,” kata Ong.

Ketika mengulangi saranan mengenai penggunaan tenaga lebih bersih, pengasas bersama dan pengarah Tonibung Senator Adrian Lasimbang berkata grid selatan yang sepatutnya sudah diwujudkan sejak lama dulu, kini perlu dibina bagi menambah baik urusan pengagihan tenaga elektrik.

“Lebih banyak stesen tenaga hidro boleh dibina di selatan dengan wujudnya sistem grid baharu. Projek Saluran Paip Gas Trans Sabah yang lebih 80 peratus kosnya telah dijelaskan Kerajaan Malaysia patut disemak semula dan skopnya diubah daripada pembinaan saluran paip gas kepada pembinaan grid selatan,” kata beliau.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan