Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bencana Tsunami 26 Dis 2004 Segar Dalam Ingatan Penduduk

tsunami

SUNGAI PETANI – Sungguhpun 10 tahun sudah berlalu, namun kesedihan kehilangan insan tersayang serta tempat berteduh dalam bencana tsunami terus meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan penduduk Kota Kuala Muda di sini.

Kampung Kepala Jalan, Kampung Tepi Sungai dan Kampung Masjid Tsunami antara yang terjejas teruk oleh tsunami yang membadai pada 26 Dis 2004 manakala 11 individu terdiri daripada warga emas, dewasa, remaja orang kurang upaya (OKU), dan kanak-kanak, terkorban dalam bencana alam itu.

Tidak pernah terlintas di fikiran penduduk bahawa rumah yang dihuni sejak puluhan tahun akhirnya rebah ke bumi dihempas pukulan ombak besar yang datang secara tiba-tiba, sedangkan cuaca ketika itu baik dan cerah.

“Kuasa Tuhan, tiada siapa yang dapat menduga apa yang akan berlaku,” luah , Yaacob Ismail, penduduk Kampung Tepi Sungai kepada Bernama di sini, hari ini.

Yaacob, 58, bukan sahaja kehilangan rumah, malah ibu mentuanya yang lumpuh, Siti Aminah, 60-an, sewaktu ombak tsunami membadai kampung berkenaan.

Menceritakan detik yang memilukan itu, Yaacob berkata, ada tiga buah rumah yang mengadakan kenduri pada hari kejadian dan dia bergegas pulang dari sebuah daripada rumah kenduri itu selepas ombak pertama membadai.

“Ketika itu mak mentua saya berada di dalam rumah, saya dibantu dua anak lelaki cuba menyelamatkannya namun selepas ombak kedua membadai, keadaan menjadi kelam-kabut dan dia meninggal dunia tidak lama selepas kami berjaya mengangkatnya ke tempat selamat.

“Saya sendiri kesakitan apabila sebuah kereta yang dihanyutkan air laut, menghentam badan saya sewaktu cuba menyelamatkan diri. Sudah 48 tahun saya tinggal di sini dan tidak menyangka peristiwa sebegini akan berlaku,” katanya.

Berbeza pula kisah Yaacob Abd Rahman, 63, dari Kampung Masjid, yang mengalami masalah jantung, yang tiga kali pengsan pada hari kejadian akibat terkejut.

“Saya baru pulang daripada menziarah seorang penduduk yang meninggal dunia, lepas itu saya ke rumah kenduri yang berdekatan, sebelum balik semula ke rumah selepas digesa rakan yang bimbang dengan keadaan kesihatan saya selepas melihat muka saya yang pucat.

“Sampai di rumah, saya duduk termenung sebelum dikejutkan anak yang mengatakan air naik, saya dan isteri bersama tiga lagi anak terus lari menyelamatkan diri. Tiga kali saya pengsan hari itu akibat terkejut,” katanya.

Trauma dengan kejadian yang berkaku, Yaacob berkata lebih sebulan selepas kejadian baru dia berani mengagahkan diri untuk pulang ke rumah, dan kejadian yang berlaku itu menjadikannya lebih berhati-hati.

Seorang lagi penduduk Kampung Masjid, Abd Halim Abdullah, 61, berkata selepas gelombang kedua datang, banyak rumah yang runtuh dan dia keluar dari rumah untuk melihat keadaan sekitar.

“Apabila pulang semula ke rumah, saya terpisah dengan isteri dan anak-anak yang sudah pun bergerak ke tempat yang lebih selamat. Mujurlah kami bertemu semula selepas itu dan semuanya berada dalam keadaan selamat.

“Itu kisah 10 tahun lalu, ia jadi pengajaran dan peringatan kepada kami kerana jika berlaku gempa bumi, dalam tempoh tiga jam selepas gempa, kita perlu jauhkan diri dari kawasan pantai dan berada di tempat selamat,” katanya.

Bagi Norashikin Md Saad, 40, juga dari Kampung Masjid, dia pada mulanya tidak percaya apabila diberitahu anak-anaknya yang ketika itu berusia empat dan lima tahun, bahawa ada ombak besar dari pantai sehinggalah melihat sendiri air laut semakin hampir dengan rumahnya.

“Ketika itu, anak-anak bermain di tepi pantai dan terus berlari pulang untuk memberitahu saya, saya tidak percaya, bila nampak air dah dekat baru saya percaya dan terus mengajak ketiga-tiga anak saya, termasuk seorang lagi berusia 11 tahun lari ke tingkat dua rumah abang saya yang terletak tidak jauh dari rumah kami

“Rupanya lebih kurang 20 orang lain turut berada di situ. Hingga kini perasaan takut masih ada namun saya lebih bersedia termasuklah memastikan dokumen penting diletakkan di tempat selamat dan mudah dicapai,” katanya yang berharap agar kejadian sama tidak berulang.

Napisah Yusoff, 32, yang ketika kejadian masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim, dekat sini, berkata ketika kejadian dia baru sahaja bercuti selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Di sini memang tidak ada banjir namun selepas dilanda tsunami, saya sedar yang musibah itu boleh datang pada bila-bila masa,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan