Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Belanjawan Bertanggungjawab Penting Untuk Capai Wawasan 2020 – Najib

belanjawan najib

KUALA LUMPUR– Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa berkata Malaysia memerlukan belanjawan yang bertanggungjawab, yang mengambil kira keperluan rakyat, untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan mencapai status negara maju pada tahun tersebut.

Perdana Menteri berkata Belanjawan 2015 yang dijadual dibentangkan di Parlimen Oktober depan, diharap dapat terus merangsang pertumbuhan, menambah baik kedudukan fiskal negara serta meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Malaysia kini berada di ambang status negara maju.

“Bersama, kita mampu mencapai sasaran itu. Mari teruskan usaha kita,” kata Najib dalam catatan terbaharu beliau di blog 1Malaysia bertajuk ‘Bajet2015 : Mari Teruskan Usaha Kita’.

Justeru itu, bagi memastikan Belanjawan 2015 memenuhi kehendak rakyat, Perdana Menteri mengajak orang ramai menyuarakan idea, pandangan serta keperluan mereka menerusi laman khusus serta Facebook beliau sendiri untuk dipertimbang.

“Saya mengalu-alukan cadangan anda semua. Saya sangat teruja dengan semua maklum balas rakyat sewaktu #Bajet2014 – sentimen tertumpu kepada segala-galanya, dari perumahan hinggalah ke kebudayaan,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menarik perhatian apabila berkata walaupun ekonomi negara terus berkembang dan banyak peluang pekerjaan baharu diwujudkan, namun rakyat tetap merasai kesan daripada kenaikan kos sara hidup.

Katanya kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama dan kerajaan telah mengorak langkah dalam menangani isu-isu keperluan rakyat dengan merangka bajet nasional yang inklusif, seimbang dan bertanggungjawab.

“Antara objektif utama kerajaan ialah mengurus kos sara hidup dan mengekalkan kadar inflasi yang rendah,” katanya.

Menjelaskan lanjut mengenai isu tersebut, Najib berkata satu daripada langkah yang diambil kerajaan untuk memberi kemudahan kepada rakyat ialah dengan menyediakan alternatif yang baik untuk kereta.

“Selaras dengan kepesatan ekonomi Malaysia, bandar-bandar kita turut sama membangun dan amat penting bagi kita untuk merangka jalan penyelesaian jangka panjang bagi meleraikan masalah kesesakan lalu lintas, menambah baik pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya,” katanya.

“Transit Aliran Pantas Lembah Klang (KVMRT) diyakini mampu menangani masalah ini dengan meningkatkan jarak liputan pengangkutan awam sepanjang 51 kilometer,” katanya.

Najib berkata setiap tren dalam laluan MRT akan mempunyai empat gerabak dan ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan menyediakan pengangkutan awam untuk kegunaan sehingga 400,000 penumpang setiap hari.

Katanya kerajaan juga akan meningkatkan liputan Transit Aliran Ringan (LRT) sedia ada dengan melanjutkan laluan Kelana Jaya dan Ampang ke Putra Heights.

Bagi mencapai objektif untuk meningkatkan pengangkutan awam mesra alam, Projek Landasan Elektrik Berkembar (EDTP) dari Ipoh, Perak ke Padang Besar, Perlis akan menyediakan kemudahan pengangkutan bagi penduduk di utara tanah air, katanya.

Menyentuh mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Najib menegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaannya pada tahun depan bertujuan mengganti, bukannya menambah cukai perkhidmatan dan cukai jualan (SST) sedia ada.

“Kita memerlukan sistem cukai baharu dan lebih saksama, ini kerana hanya satu daripada 10 rakyat Malaysia merupakan pembayar cukai.

“Kita juga perlu memperluas aliran pendapatan, terus mengurangkan defisit dan melabur untuk masa depan. GST membolehkan kita mencapai kesemua hasrat ini,” kata Najib.

GST akan dilaksanakan mulai April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan SST yang kini dikenakan pada kadar 16 peratus.

Selain itu, kerajaan juga akan meningkatkan pendapatan kasar rakyat dengan penurunan beberapa julat cukai pendapatan seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2014.

“Kadar pungutan cukai individu diturunkan satu hingga tiga peratus untuk semua pembayar cukai dan ini membolehkan 300,000 pembayar cukai tidak lagi perlu membayar cukai.

“Kadar cukai korporat, kadar cukai pendapatan bagi perniagaan kecil dan sederhana juga diturunkan satu peratus bermula tahun penilaian 2016 dan seterusnya.

“Akhir sekali, cukai pendapatan koperasi juga akan dikurangkan sebanyak satu hingga dua peratus bermula tahun penilaian 2015,” kata Najib.

Bagi membantu golongan yang memerlukan, Perdana Menteri mengulangi komitmen kerajaan untuk meningkatkan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,200 setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

“BR1M adalah satu lagi langkah untuk membantu rakyat Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup. Ia adalah subsidi tersasar yang diberikan berasaskan keperluan,” katanya.

Najib berkata sewaktu perbincangan Belanjawan 2014 secara dalam talian, antara keresahan utama yang dibangkitkan rakyat ialah mengenai ketersediaan rumah mampu milik.

Sebagai reaksi, Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM1 bilion kepada Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk membina 80,000 unit rumah pada harga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran selain menyuntik dana dalam menyediakan 26,122 unit rumah mampu milik.

“Satu lagi pertanyaan utama rakyat ialah berkaitan harga kereta. Oleh itu, Kerajaan telah memperkenal Dasar Automotif Negara (NAP) dalam Belanjawan 2014.

“Dasar ini menyasarkan untuk menurunkan harga kenderaan secara berkadar sebanyak 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan