Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bekas Pengarah JKR Labuan didenda RM3,000

Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya Labuan, Ismail Che Ros keluar dari mahkamah selepas mengaku kesalahan menerima rasuah, di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kota Kinabalu. – Foto Mohd Adam Arinin

 

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen, hari ini menjatuhkuan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu ke atas bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Labuan, Ismail Che Ros, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa pada tahun 2015.

Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat turut memerintahkan wang ikat jamin sebanyak RM10,000 dan pasport tertuduh dikembalikan selain membatalkan arahan melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

Abu Bakar membuat penghakiman itu selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah tertuduh dan mengambil kira imejnya yang tiada rekod jenayah, selain kerjasama baik diberikan sepanjang siasatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ismail, 60, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima barang berharga iaitu pakej penginapan dan golf di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, bernilai RM2,880.90, pada 5 hingga 7 Ogos 2015.

Tertuduh mengaku menerima suapan itu daripada seorang lelaki bernama Teoh Hon Chun, iaitu kontraktor berkaitan dengan projek pembinaan jalan pintas di Kampung Gersik, Labuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rozzana Abdul Hadi manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.

Sementara itu, di mahkamah sama, Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap Pembantu Pegawai Kesihatan Persekitaran, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selepas mengaku salah menerima suapan.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi tertuduh, David @ Divi Jasni selepas mengaku salah atas tuduhan menerima rasuah, di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kota Kinabalu. – Foto Mohd Adam Arinin

 

Abu Bakar turut menetapkan hukuman penjara selama sebulan jika tertuduh, David @ Divi Jasni, 37, gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh secara tidak jujur menerima wang tunai RM200 daripada Lui Oi Yee sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kompaun mengikut Undang-undang Kecil Makanan dan Premis 1966.

David dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 11.20 pagi, 29 Julai tahun lalu di belakang Kedai Kopi Melanian 3, Jalan Pantai, di sini dan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Isteri tertuduh, Liah Moen, 34, yang dituduh bersubahat dengan menyamar sebagai pegawai DBKK didenda RM300. –¬†Oleh Fardy Bungga/BH Online

Komen


Berita Berkaitan