Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

BEKAS KETUA PEMUDA UPKO, PAKU DULANG, KAYU SERPIH: Dennison

KOTA KINABALU: Pemuda Upko hari ini menyelar tindakan bekas ketua pemuda mereka, Arthur Sen, yang menyerang parti lamanya dengan melabel pemangku presiden, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sebagai “katak.”

Ketua Penerangan Pemuda Upko, Dennison R Indang berkata amat “melucukan” apabila Arthur menuduh Ketua Menteri Sabah cuba memperbodohkan rakyat ketika menjelaskan bahawa Upko bukanlah melompat tetapi hanya bergabung dengan Warisan untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas pilihanraya umum yang lalu.

Kata Dennison, sebaiknya Arthur berhenti daripada membuat kenyataan sedemikian kerana ia adalah contoh tepat kepada pepatah Melayu “paku dulang, kayu serpih.”

Dennison Indang. Gambar SNT/Ehsan FB

“Kita percaya Arthur memang tahu akan definisi sebenar “katak politik” yakni seorang ahli politik yang melompat dari satu parti ke satu parti yang lain.

“Arthur sendiri melompat dari Upko ke PBS. Jadi, beliau panggil dirinya sendiri apa?” tanya Dennison dalam satu kenyataan di sini.

“Arthur juga hadir semasa mesyuarat tergempar majlis tertinggi Upko di mana keputusan sebulat suara telah dicapai untuk meninggalkan Barisan Nasional. Mengapa beliau tidak menyuarakan bantahan ketika itu?” soal Dennison.

Menurutnya lagi, berbagai kenyataan dan penerangan telah dibuat demi menjelaskan tindakan Upko untuk bergabung dengan Parti Warisan Sabah, PKR dan DAP bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Gabungan dibuat demi kebaikan semua dan dalam hal ini untuk rakyat Sabah. Keputusan pilihanraya umum baru-baru ini jelas menunjukkan rakyat yang kita wakili telah membuat keputusan menolak gabungan lama.

“Oleh itu amat penting bagi kita sebagai satu organisasi yang menjaga kepentingan rakyat Sabah untuk keluar dari gabungan lama dan membentuk sesuatu yang baharu,” katanya.

Tuduhan Arthur bahawa tindakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahankan Upko hanya akan menggalakkan budaya “tikam menikam” juga tidak tepat, katanya.

Hal ini tidak timbul kerana selama ini Upko berpegang kepada prinsip membela rakyat dan sentiasa konsisten dalam perjuangan untuk membawa hanya yang terbaik bagi rakyat di Sabah, katanya.

Dennison yang akan bertanding jawatan yang dikosongkan oleh Arthur pada pemilihan parti Oktober ini mendakwa Arthur telah kehilangan sokongan majoriti pemuda Upko dan “akan tewas sekiranya beliau mempertahankan jawatannya.”

“Mungkin, tindakannya untuk meletak jawatan merupakan penyelesaian terbaik demi menjaga hubungan baik semua,” katanya.

Dennison berkata beliau tidak berhasrat mengulas lebih panjang lagi memandangkan Arthur adalah bekas ketuanya.

Namun pada masa yang sama, Dennison berharap Arthur dapat menghormati bekas rakan seperjuangannya yang masih berjuang demi mempertahankan hak orang Sabah.

Katanya, Arthur sepatutnya menunjukkan kebolehannya jikalau benar-benar sayangkan rakyat daripada hanya mencuba sedaya upaya untuk mendapat perhatian dalam media.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan