Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,818

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Bekas kapten Indonesia tekad julang Sabah

12:09pm 23/01/2016 Pak Roshan 1623 views Berita Pilihan,Mutakhir,Sukan
PEMAIN import Sabah, Dedi Kusnandar. - Foto goal.com

PEMAIN import Sabah, Dedi Kusnandar. – Foto goal.com

KOTA KINABALU: Pemain import Sabah dari Indonesia, Dedi Kusnandar, berhasrat mengikut jejak tiga rakan senegaranya, Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Andik Vermansyah yang berjaya mencipta nama dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Dedi, 24, bekas kapten skuad bawah 23 tahun Indonesia, berkata dia begitu berbangga melihat kejayaan pemain skuad Garuda di negara ini, apa lagi tiga idolanya itu pernah menjulang Piala Malaysia bersama Selangor.

“Sudah pasti saya ingin mengikut jejak mereka yang bukan saja beraksi dengan baik di sini (Malaysia), malah mempunyai ramai peminat.

Saya ingin buktikan sesuatu bersama Sabah dan akan berusaha memikat hati peminat, lebih-lebih lagi di sini juga ramai warga Indonesia,” katanya.

Bambang dan Elie sebelum ini melakar sejarah bersama Selangor apabila meraih tiga kejuaraan pada tahun 2005 iaitu Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Lebih manis lagi, Bambang turut meledak hatrik pada aksi final bertemu Perlis ketika itu. Disember lalu, Andik pula menjadi pemain ketiga dari Indonesia menjulang Piala Malaysia, juga bersama skuad Gergasi Merah apabila menewaskan Kedah 2-0 dalam aksi final.

Mengulas lanjut, Dedi berkata, tugas utamanya ketika ini adalah untuk membantu Sabah menemui semula rentak sebagai antara pasukan disegani pada musim baharu nanti.

“Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Sabah, namun saya ada mendengar mengenai sejarah pasukan ini yang pernah menjadi antara pesaing utama Liga-M, suatu ketika dulu.

“Saya yakin Sabah mampu bangkit semula walaupun musim ini dibarisi ramai pemain muda,” katanya sambil menambah mula mengenali pasukan Sabah menerusi bekas penyerang import Sang Badak pada tahun 2014, Marwan Sayedeh, yang pernah beraksi bersamanya dalam Liga Indonesia.

Pemain yang berasal dari Sumedang, Indonesia itu berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di Sabah kerana penduduk negeri ini sangat mesra.

“Begitu juga rakan sepasukan, saya mula serasi dengan mereka sejak hari pertama menjalani latihan bersama.

Saya harap kami mampu mencipta kejutan pada musim ini,” katanya.

Dedi sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab di Indonesia termasuk Pelita Jaya (2008-2012), Arema Cronus (2012-2013), Persebaya Surabaya (2013-2014) dan Persib Bandung pada tahun lalu. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan