Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bekalan elektrik, air bersih, sistem jalan raya perlu perhatian segera

Datuk Azmin Ali. Gambar Bernama

KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) — Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan sistem jalan raya termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah perlu diberi perhatian segera bagi memastikan proses pembangunan di negeri ini terus berjalan lancar sekali gus membawa kemakmuran kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata ketiga-tiga aspek berkenaan perlu diberi perhatian segera selaras dengan komitmen  Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan untuk membawa kesaksamaan pembangunan kepada semua negeri di negara ini, termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya isu besar yang turut perlu diberi perhatian segera di Sabah ialah soal keselamatan memandangkan  ia berkait secara langsung dengan pembangunan ekonomi Sabah terutama sektor pelancongan.

“Kita akan lihat perkara ini secara menyeluruh dan kita akan teruskan kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah untuk memastikan hak rakyat Sabah terbela dan pembangunan di negeri ini dapat diteruskan demi kemakmuran Sabah dan rakyat Sabah,” katanya.

Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di Kepayan di sini hari ini. Sebelum itu, beliau turut diberi taklimat berkenaan pembangunan Sabah oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri sebelum melawat projek naik taraf jalan raya di Jalan Bypass Penampang.

Mengenai kebimbangan sesetengah pihak mengenai kemungkinan PKR  dicemari unsur nepotisme  berikutan perkembangan terbaharu dalam parti itu khususnya kemunculan secara aktif Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik negara, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata fokus parti itu sekarang ialah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson.

Katanya kerusi berkenaan amat penting bukan sahaja untuk dipertahankan malah parti itu akan bekerja keras bagi memperoleh majoriti undi lebih baik berbanding dalam pilihan raya umum lalu untuk meneruskan mandat yang diberi rakyat pada pilihan raya umum Mei lepas.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan