Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bekalan air graviti dicadang untuk kampung tiada air terawat

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick mencadangkan agar Jabatan Air Kota Belud mengangkat sistem bekalan air graviti di kampung-kampung yang tidak mendapat bekalan air terawat sebagai satu program Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, ini bagi membolehkan jabatan atau kementerian berkenaan membantu dari segi perawatan bekalan air, penyelenggaraan punca air, tangki rawatan dan perpaipan.

“Jurutera Air Bahagian Kota Belud (Chee Chun Chieh) berkongsi aspirasi dengan saya dan beliau akan membantu menyediakan pelan pakej BALB air graviti bagi 39 kampung kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

“Ini akan menjadi perjuangan bersama sepasukan, bermula daripada sebuah aspirasi bersama, kemudian pelan pembangunan dan usaha bersama,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke pejabat Jabatan Air Kota Belud, di sini, hari ini.

Ewon berkata, Loji Rawatan Air Bayayat yang mempunyai kapasiti pengeluaran maksimum 15 juta liter sehari mengalami kerosakan pam selepas kejadian gempa bumi kerana air yang diproses mengandungi mendapan dan pasir.

Oleh itu katanya, dua pam utama loji itu dalam proses digantikan dengan yang baru.

 Beliau berkata bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat, jabatan berkenaan telah mengadakan perbincangan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri untuk tujuan itu.

Mengenai Air Tidak Berhasil (Non-revenue water) di Kota Belud, Ewon berkata, ia berada pada tahap 70 peratus kerana banyak pemasangan haram (tidak ada meter) di beberapa perkampungan dan berlaku kebocoran di beberapa paip.

“Bagi menyelesaikan masalah pemasangan haram, penduduk kampung perlu dimaklumkan mengenai pematuhan ordinan-ordinan berkaitan.

“Selain itu kita juga akan mencari jalan bagaimana membantu penduduk kampung mendapatkan pembiayaan pemasangan meter termasuk melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat-syarikat konsesi air.

“Kita berharap Jabatan Air dapat melaksanakan penyelenggaraan dari semasa ke semasa agar masalah kebocoran paip di Kota Belud dapat diatasi,” katanya.

Berkenaan projek BALB di Kota Belud meliputi Kg Dudar, Kg Taburan, Kg Sarang, Kg Siudon, Kg Bubuk dan Kg Bungaliu, Ewon berkata ia masih tertangguh disebabkan kesukaran mencari punca air di kawasan tersebut.

“Punca baru dikenalpasti tetapi berada dalam kawasan hutan simpan. Saya akan menyertai jabatan turun padang untuk melihat sendiri dan mencari kaedah praktikal supaya permasalahan ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat konsesi kerana bersetuju meneruskan program CSR mereka untuk membekalkan tangki-tangki air sementara semasa musim kemarau di kampung-kampung terjejas dan membantu sedikit sebanyak membiayaai pemasangan meter kepada penduduk kampung./SayangSabah

Ewon ketika meninjau Loji Rawatan Air Bayayat Kota Belud. – GAMBAR OLEH JOEL EWEL

Komen


Berita Berkaitan