Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bayi Merdeka Akhiri Penantian Selama 6 tahun

bayi

KUALA LUMPUR – Tanggal keramat ketika negara menyambut ulang tahun ke-57 kemerdekaan turut menjadi hari bersejarah buat Ida Fikriah Ismail, 36, yang selamat melahirkan bayi sulung selepas enam tahun berkahwin.

Ida Fikriah berkata beliau dan suami, Mohd Zamzuri Khoshim, 37, amat gembira dengan kehadiran bayi lelaki seberat 2.90 kilogram itu pada 9.46 pagi tadi selain bersyukur kelahiran secara normal itu dipermudah.

“Saya berasa teruja dan gembira tidak terkata, setelah bertahun kami menanti kehadiran seorang anak, akhirnya doa kami untuk memiliki zuriat dimakbulkan,” katanya kepada Bernama di KPJ Ampang Puteri.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam KPJ Ampang Puteri Roslin Amran berkata dua lagi bayi perempuan dilahirkan di hospital berkenaan setakat tengah hari ini dengan kelahiran pertama pada 7.08 pagi.

Sejumlah 52 bayi merdeka iaitu 21 perempuan dan 31 lelaki dilahirkan di enam hospital kerajaan serta swasta sekitar Lembah Klang bermula selepas detik 12 tengah malam tadi hingga 2 petang ini.

Bayi merdeka pertama ialah bayi lelaki yang dilahirkan tepat pukul 12 tengah malam tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Bayi seberat 3.08 kilogram itu antara 18 kelahiran yang direkod di hospital berkenaan, yang turut mencatat kelahiran paling tinggi.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula, sejumlah tiga bayi dilahirkan, kesemuanya lelaki, dengan kelahiran pertama pada 7.20 pagi.

Sementara itu, Hospital Ampang mencatat 15 kelahiran iaitu 11 perempuan dan empat lelaki dengan bayi pertama dilahirkan pada 12.28 pagi.

Di Hospital Selayang, sejumlah 12 bayi dilahirkan iaitu 10 lelaki dan dua perempuan manakala KPJ Tawakkal Specialist Hospital merekodkan kelahiran seorang bayi perempuan.

TERENGGANU pula merekodkan kelahiran 19 bayi di empat hospital kerajaan iaitu sembilan lelaki dan 10 perempuan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata daripada jumlah itu, lapan bayi lelaki dan lima perempuan dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Beliau berkata Hospital Kemaman merekodkan empat kelahiran bayi diikuti Hospital Dungun dan Besut masing-masing dengan satu kelahiran.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri Toh Puan Halina Zakaria meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi bayi merdeka di HSNZ.

Bagi Sharah Salleh, 34, tiada perkataan yang mampu diungkap bagi menggambarkan kegembiraan beliau dan suaminya apabila kelahiran anak ketiga mereka berkongsi tarikh keramat sambutan kemerdekaan negara.

“Saya dijangka bersalin pada 8 Sept ini, dan saya tak sangka akan melahirkan anak lebih awal dari tempoh yang dijangkakan, dan saya turut berbangga anak saya dilahirkan sebagai anak merdeka,” katanya ketika ditemui di wad bersalin HSNZ.

Di KOTA BAHARU, sambutan ulang tahun ke-57 kemerdekaan negara begitu bermakna buat Makalsom Hamad, 31, yang melahirkan bayi kembar di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh kerana sebelum ini daripada imbasan yang dibuat, beliau dimaklumkan hanya mengandungkan seorang bayi.

“Ketika selamat melahirkan bayi pertama pada pukul 1.29 tengah hari tadi, seorang jururawat memberitahu saya bahawa ada seorang lagi bayi dalam kandungan saya,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata kedua-dua bayi lelakinya selamat dilahirkan secara normal dengan berat masing-masing 1.8 kilogram dan bayi dalam keadaan sihat walaupun dilahirkan dalam tempoh 35 minggu.

Suaminya, Azam Yusof, 37, guru penasihat di sebuah pondok, berkata mereka merancang membeli kelengkapan bayi hari ini kerana tidak menyangka Makalsom akan bersalin awal.

“Ketika dalam perjalanan dari rumah di Jeram Pasu ke pekan Pasir Puteh, isteri mengadu sakit perut lalu saya terus menghantarnya ke hospital,” katanya sambil menambah akan memilih nama yang mempunyai kaitan dengan kemerdekaan untuk anak kembar mereka. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan