Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Barah Ikhlas: Apakah puncanya?

Gambar Hiasan

Pasti apabila dibicarakan tentang satu istilah yang dinamakan “ikhlas”, ramai yang mendefinisikannya dengan cara yang berbeza.

Beberapa pendefinisian yang berjaya saya satukan hasil daripada pandangan pelbagai kaum dan agama, ada dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa ikhlas ini ialah melakukan sesuatu perkara untuk orang lain tanpa mengharapkan balasan di dunia.

Ada juga yang mengaitkan ikhlas ini seolah-olah kita hanya berserah kepada Allah SWT dalam menentukan balasannya.

Namun, bagi bahasa mudahnya ikhlas ini seperti kita memberi dengan menggunakan tangan kanan dan tangan kiri tidak tahu.

Analoginya seperti seorang insan membuang air besar, najis itu tidak akan diingat olehnya tentang keadaan, rupa dan bentuknya kerana bagi dia, perkara itu tidak perlu difikirkan.

Ucapan tentang keikhlasan ini mungkin mudah untuk diucapkan ataupun ditulis, namun setiap kali segala sesuatu perkara dilakukan, pasti terdetik di hati, “Benarkah si A yang bantu aku ini ikhlas membantu” atau keadaan begini, “Kalau aku bagi derma pada si A mesti duit aku habis.”

Mengapa hal seperti ini berlaku? Satu lagi persoalan di mana ketika berbincang tentang keikhlasan, jika ditanya, “Pernahkah berjumpa penaja yang ikhlas membantu?”

Jawapan kebanyakan kita, pasti mengatakan, “Susah bro.”

Hal ini menyebabkan penulis tertarik untuk berkongsikan beberapa punca yang menyebabkan ikhlas itu sukar ataupun kurang diamalkan oleh masyarakat pada hari ini.

******

Oleh itu, terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti. Berikut adalah antara punca-puncanya;

1. Sentiasa berfikir segala sesuatu perlu ada ganjaran yang lumayan

Usaha dan duit sudah dianggap sesuatu yang biasa dalam kalangan masyarakat pada masa kini.

Seolah-olah sekiranya kita tidak memberikan sesuatu duit mahupun ganjaran (profit) yang setimpal , segalanya tidak boleh dilakukan.

Misalnya, dalam kehidupan seharian, ketika disuruh menyapu sampah oleh ibu sendiri. Ada dalam kalangan kita yang meminta upah untuk melakukannya meskipun itu sememangnya tanggungjawab sebagai seorang anak membersihkan halaman rumah.

Bukan maksud saya, kita tidak boleh meminta upah. Tidak. Tetapi di sini kita seolah-olah diajar melakukan sesuatu kerana balasan yang lumayan.

Niat kita bukan sebenarnya hendak membantu meringankan beban ibu bapa, tetapi lebih kepada menambahkan beban mereka dengan upah yang kita minta.

2. Melakukan perkara yang tidak diminati

Sedar ataupun tidak, ketika kita memilih atau dipaksa pilih untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak kita sukai, secara tidak langsung menjadikan kita kurang ikhlas ataupun sampai ke tahap malas melakukan perkara tersebut.

Hal ini akan menyebabkan akhlak dan moral individu itu sedikit demi sedikit terhakis disebabkan kebencian terhadap aktiviti ataupun sesuatu perkara yang dilakukan seperti mengutuk atau bergosip tentang perkara yang tidak disukainya.

Misalnya, Aminah meminati penulisan cerpen dan artikel tetapi dipaksa untuk menjadi doktor. Hal ini akan menyebabkan tekanan juga kepada Aminah kerana bidang tersebut tidak disukainya.

Di samping itu, Aminah mungkin melakukannya hanya kerana terpaksa dan bukan secara sukarela. Kesannya bukan sahaja kepada dirinya, impaknya juga akan memudaratkan orang lain.

3. Persekitaran yang suka mengambil kesempatan

Pasti ada dalam kalangan pembaca yang pernah mengalami pengalaman ini.

Sebagai contoh, Ali meminta tajaan daripada syarikat B untuk mengadakan program bersama sekolah menengah untuk motivasi dan pendedahan awal berkenaan universiti dan alam pekerjaan.

Memberikan tajaan kepada Ali oleh syarikat B merupakan sesuatu yang mulia namun sesuatu yang pelik ialah syarikat B ini menginginkan sesuatu daripada Ali. Misalnya, program Ali perlu menyediakan baju, nama syarikat itu perlu dikenali dan sebagainya.

Kadang kala, permintaan penaja melampau-lampau seolah-olah mereka yang mengendalikan program. Persekitaran seperti ini hampir majoriti berlaku di mana-mana syarikat.

Seolah-olah nama, populariti dan kekayaan yang menjadi titik akhir kepada amalan kebaikan mereka bukannya kerana Allah SWT. Mereka menjadikan tujuan membantu sebagai kesempatan untuk diperalat atau dipergunakan.

4. Pengalaman silam

Pengalaman silam juga sebenarnya mempengaruhi keikhlasan individu pada hari ini.

Hal ini berkait rapat dengan kepercayaan dan harapan daripada pemberi kepada penerima bahawa sesuatu yang diberikan untuk satu tujuan yang baik, namun disalah gunakan.

Contohnya, pengalaman membantu orang A kerana dia peminta sedekah, tetapi sejurus sahaja melangkah hendak pulang ke rumah, terlihat peminta sedekah itu pulang dengan kereta Myvi.

Seolah-olah golongan peminta sedekah ini menipu orang ramai. Perkara-perkara seperti ini akan membuatkan mereka yang dulunya membantu kerana kasihan akhirnya meragui untuk mengikhlaskan diri mereka dalam membantu orang pada masa akan datang.

5. Tiada pengetahuan atau kesalah tafsiran berkenaan dengan ikhlas

Perkara seperti ini mungkin agak terpencil berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.

Namun, terpencil bukan maksudnya tidak berlaku. Bagi golongan yang tidak mengetahui tentang ikhlas ini, mereka hanya melakukan aktiviti harian mereka tanpa terfikir sama ada itulah perbuatan yang ikhlas mahupun bukan.

Namun, kebanyakan masyarakat pada hari ini menyalah tafsirkan maksud ikhlas itu sendiri malah ada yang memperalatkannya. Mereka menganggap ikhlas itu “susah” untuk dilakukan.

Ada juga berpandangan kalau memberi sesuatu dengan ikhlas, kita akan jatuh “muflis”. Ada juga yang mengaitkan ikhlas dengan penindasan terhadap individu yang melakukannya.

Kesemuanya itu seolah-olah benar, namun sesuatu yang perlu diambil perhatian, ikhlas ini kita hanya berserah kepada Allah sebagai balasan, di samping memberikan sesuatu yang terdaya oleh kita.

Sekiranya mampu dengan berkongsi ilmu, ikhlaskan diri dalam perkara tersebut. Hal ini akan menjadikan hidup lebih diberkati.

******

Kesimpulannya, tujuan manusia hidup di dunia ini tidak lain tidak bukan untuk kebahagiaan di akhirat.

Oleh itu, amalan yang terbaik untuk kita persembahkan kepada Yang Maha Pencipta ialah keikhlasan.

Semoga nukilan ini sedikit sebanyak memberikan kita garis panduan untuk sama-sama bermuhasabah tentang amalan harian kita.

Adakah aku layak dikategorikan dengan ikhlas? Bayangkanlah ikhlas itu seperti najis, sudah pasti amalan yang anda lakukan tidak mahu anda ingati.

Semoga sama-sama kita mencapai redha Illahi.

(Sumber: iluvislam oleh Muhammad Nur Firdaus bin Mohd Zin)

Komen


Berita Berkaitan