Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bantuan Kepada Malim Gunung Untuk Julai Sudah Diserahkan – Pemuda UMNO Ranau

malim-gunung-1

KOTA KINABALU : Bantuan kewangan selama tiga bulan dijanjikan Biro Kebajikan UMNO kepada malim gunung, yang hilang punca pendapatan selepas insiden gempa bumi pada 5 Jun, untuk bulan Julai sudah diserahkan, kata Ketua Pemuda UMNO Ranau Faez Nordin.

Beliau berkata bantuan kewangan pertama berjumlah RM168,000 diserahkan kepada 250 malim Gunung Kinabalu oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sendiri pada 9 Julai di kem Biro Tatanegara di Kundasang.

Katanya daripada 250 malim berkenaan, 170 malim sepenuh masa menerima RM800 seorang, manakala 80 orang malim sambilan pula masing-masing menerima RM400.

“Bantuan kewangan untuk bulan kedua kepada malim-malim berkenaan akan diserahkan pada bulan Ogos di pejabat UMNO Bahagian Ranau. Bagaimanapun, tarikhnya akan ditentukan kemudian,” kata Faez ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.

Pada 10 Jun lalu, Abdul Azeez mengumumkan Biro Kebajikan UMNO akan memberi bantuan kewangan selama tiga bulan kepada malim gunung yang hilang punca pendapatan berikutan aktiviti pendakian Gunung Kinabalu dihentikan sementara akibat tragedi gempa bumi itu bagi meringankan beban hidup mereka.

“Pihak berwajib ada memaklumkan bahawa aktiviti pendakian Gunung Kinabalu ditutup selama tiga bulan. Itupun belum pasti aktiviti pendakian akan dibuka selepas tempoh itu (bergantung kepada keadaan keselamatan). Jadi bantuan ini sedikit sebanyak boleh meringankan beban hidup malim berkenaan sementara menunggu aktiviti pendakian dibuka semula,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan