Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Banjir Kilat Di Kg. Malangkap Rosakkan Harta Benda Penduduk

Keadaan sebuah bangunan dalam pembinaan di Kampung Malangkap yang terjejas teruk ekoran banjir besar berlumpur yang melanda sejak kelmarin. - Foto BERNAMA
Keadaan sebuah bangunan dalam pembinaan di Kampung Malangkap yang terjejas teruk ekoran banjir besar berlumpur yang melanda sejak kelmarin. – Foto BERNAMA

KOTA BELUD – Banjir kilat yang melanda Kampung Malangkap semalam menyebabkan kira-kira 1,000 penduduk kampung itu mengalami kemusnahan harta benda dan tanaman selain terputus hubungan.

Seorang penduduk, Daulis Tamakau berkata tiga jambatan gantung utama di kampung itu dihanyutkan banjir termasuk sebuah yang baru siap dibina setelah musnah dalam kejadian banjir bulan lepas.

Katanya semua kawasan sawah padinya juga musnah dalam kejadian itu.

“Saya betul-betul tak sangka banjir boleh sampai ke kawasan sawah padi saya yang terletak jauh dari sungai. Kebun getah yang terletak di kawasan rendah turut musnah.

“Sebuah resort pelancongan milik penduduk kampung yang terletak di tepi sungai hilang dibawa arus. Lapan tiang elektrik juga hanyut menyebabkan penduduk terputus bekalan elektrik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremy Malajad yang melawat kawasan dilanda banjir berharap supaya pihak berkuasa memberi keutamaan menyelesaikan masalah jalan raya yang terputus ke perkampungan berkenaan.

Katanya penduduk Kampung Malangkap Baru dan Malangkap Tomis terputus hubungan jalan raya utama ke perkampungan berkenaan yang rosak akibat banjir.

Beliau mahu pihak berkuasa membaiki segera Jalan Malangkap melalui Kabayau Lama sebagai laluan alternatif sekiranya banjir berulang.

Menceritakan kejadian itu, seorang penduduk kampung, Paugin Gurid, berkata sebelum kejadian, dia menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada penduduk Kampung Malangkap Kapa yang terletak di hulu Sungai Panataran, bahawa banjir besar sedang berlaku di kampung mereka.

“Apabila saya menerima mesej itu, saya terus membawa keluarga saya ke kawasan tinggi dan selamat. Kira-kira pukul 7.30 pagi saya mendengar bunyi seperti guruh yang sangat kuat dari Sungai Panataran.

“Saya melihat banjir besar membawa kayu balak dan batu besar dari Gunung Kinabalu memusnahkan apa sahaja yang terdapat di tepi Sungai Panataran.

“Keadaan amat menakutkan. Ada penduduk kampung yang menangis dan berlari keluar dari rumah sambil membawa apa sahaja barang yang mereka sempat ambil,” kata Paugin.

Hujan lebat berterusan sejak Isnin lepas, menyebabkan banjir lumpur sekali lagi melanda Sungai Kadamaian di Kota Belud awal pagi semalam, dan menyebabkan penduduk di Kampung Malangkap Baru di daerah itu terputus hubungan. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan