Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Banjir: Kerajaan Pusat bantu membina semula rumah rosak – Muhyiddin

 Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman ketika bertemu dengan mangsa-mangsa banjir di Pusat Penempatan Mangsa-Mangsa Banjir di Dewan Serbaguna Membakut di sini hari ini. --fotoBERNAMA(2015) HAK CIPTA TERPELIHARA

LAWAT MANGSA BANJIR… Muhyiddin  bersama Musa Aman ketika bertemu dengan mangsa banjir di Pusat Penempatan Mangsa-Mangsa Banjir di Dewan Serbaguna Membakut. – foto Bernama

BEAUFORT – Kerajaan pusat menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mentafsir jumlah kerosakan rumah yang rosak akibat bencana banjir sama ada melantik kontraktor atau menerusi gotong-royong.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rumah yang mengalami sebahagian kerosakan akan dibaikpulih dengan kos antara RM5,000 dan RM10,000 sebuah, manakala rumah yang rosak sepenuhnya akan dibina semula.

“Kerajaan juga akan memberi bantuan kepada petani yang rosak tanaman dan kehilangan haiwan ternakan akibat banjir, manakala pelbagai agensi pinjaman kewangan bersedia membantu perniagaan kecil terjejas banjir dengan tawaran pinjaman tanpa faedah,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Membakut dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi musibah banjir dan akan memastikan layanan sama rata diberikan kepada mangsa di semua negeri terlibat.

“Bantuan wang ehsan banjir sebanyak RM500 bagi satu isi rumah turut diperluaskan kepada mangsa di Sabah,” katanya sambil menjelaskan bahawa pembayaran akan segera dibuat selepas proses pendaftaran penduduk yang terjejas selesai di peringkat pegawai daerah dan MKN.

“Penduduk layak (menerima bantuan RM500) tidak kira mereka yang dipindahkan ke pusat pemindahan atau yang menumpang rumah saudara-mara atau yang tidak tinggalkan rumah kerana khuatir meninggalkan harta benda.

“Kerajaan pusat juga akan membayar RM5,000 bagi setiap kemalangan jiwa akibat banjir… Alhamdulillah, tidak ada laporan kemalangan jiwa mangsa banjir di Sabah,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah St Patrick, Membakut dan mendengar taklimat situasi banjir oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shahid Othman.

Daerah Beaufort, Membakut, Tenom, Sipitang dan Papar terjejas akibat banjir sejak Selasa lepas.

Komen


Berita Berkaitan