Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Banjir: JHEAINS diminta segera kenalpasti sekolah agama rosak

MEMBAKUT –  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) diminta segera mengenalpasti sekolah agama di seluruh negeri yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ariffin Mohd Arif berkata, tindakan itu perlu agar kerja pembaikan dapat dilakukan segera bagi memastikan sesi pembelajaran pelajar di sekolah terlibat tidak terganggu.

“Mereka (JHEAINS) perlu ‘turun padang’ untuk mengenalpasti semua jenis kerosakan  yang berlaku seperti peralatan meja, kerusi atau buku, termasuk kemudahan dan insfrastruktur di sekolah agama terbabit,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan jentera sukarelawan banjir di Pekan Membakut di sini hari ini.

“Keperluan ini juga merangkumi kemudahan di masjid dan surau kampung yang turut terjejas akibat musibah banjir yang berlaku baru-baru ini dan sebaik dikenalpasti, pembaikan segera harus dilaksanakan,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa JHEAINS boleh menggunakan peruntukan yang disalurkan kerajaan untuk menampung kos pembaikan tersebut.

Mengenai perkembangan banjir, Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut berkata, paras banjir di kawasan itu beransur surut dan sebahagian besar penduduk terjejas juga telah balik ke rumah masing-masing.

Katanya, hanya satu daripada empat pusat penempatan sementara masih dibuka setakat ini iaitu di Dewan Serbaguna Membakut yang menempatkan baki 47 orang mangsa banjir.

“Manakala, 12 buah kampung yang terjejas sebelum ini, hanya empat daripadanya yang masih dinaiki air, termasuk  sebahagian di Kampung Pimping, Kampung Brunei, Kampung Baitam dan Kampung Saga-Saga,” jelasnya. – oleh Aryan De Vera / sayangsabah

SUKARELAWAN BANJIR… Ariffin (sembilan dari tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sukarelawan yang terlibat dalam program tersebut. – foto Aryan De Vera / sayangsabah
SUKARELAWAN BANJIR… Ariffin (sembilan dari tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sukarelawan yang terlibat dalam program tersebut. – foto Aryan De Vera / sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan