Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Banjir di Pitas, penduduk kampung cadang penempatan baharu

PITAS  :  Tiada siapa yang mahu ditimpa musibah, apatah lagi bencana sama datang hampir setiap tahun. Antara cuaca perlu dan kekhilafan manusia, mana satu yang perlu dipersalahkan? Di mana silapnya apabila kampung yang sama terus dimomok air bah.

Berpindah ke pusat pemindahan banjir dan meninggalkan harta benda di dalam rumah pula bukanlah keputusan yang diminati penduduk. Dek tiada pilihan dan keselamatan nyawa diri serta seluruh ahli keluarga, mereka terpaksa akur dengan arahan agensi penyelamat.

 

Menangis Buku, Kasut Sekolah Kena Banjir

 Shazrin kecewa kerana peralatan sekolah musnah.
Shazrin kecewa kerana peralatan sekolah musnah.

Murid Tahun Satu SK Pekan Pitas, Mohamad Shazrin Hamduri, 7, yang ditemui kelihatan sugul dan kurang bercakap. Ibunya, Normaini Nualim, 34, berkata anaknya yang sangat teruja memulakan sesi persekolahan itu kini terkesan dengan banjir berkenaan.

“Pada jam 4 pagi, kami dikejutkan oleh beberapa anggota APM yang mengetuk pintu rumah. Mereka memberitahu air banjir sudah mula naik dan mengarahkan kami untuk berpindah. Ketika itu, kami hanya mampu melihat kereta kami dimasuki air dan semua peralatan sekolah dan buku-buku berada di dalam kereta itu.

“Saya sedih melihat Shazrin menangis kerana dia sangat bersemangat memasuki Tahun Satu pada tahun ini,” katanya.

Shazrin merupakan anak kedua kepada keluarga tersebut manakala kakaknya merupakan pelajar Tahun Enam bakal menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini.

 

Warga Emas, Oku Turut Menjadi Mangsa

Para anggota APM mengendong salah seorang mangsa banjir kurang upaya untuk dihantar balik ke kediaman.
Para anggota APM mengendong salah seorang mangsa banjir kurang upaya untuk dihantar balik ke kediaman.

Warga emas, Sinasayan BA. Mogundal, 106, yang mempunyai cucu Orang Kurang Upaya (OKU) diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira jam 3.00 pagi semalam.

Jelas cucu, Rosnani BA. Masindai, 32, mereka dibawa ke pusat pemindahan banjir di Dewan SK Rukom bagi mendapatkan perlindungan akibat rumah ditelenggami air pada paras leher.

Mereka juga bersyukur dan berterima kasih atas tindakan pantas APM yang membawa beliau dan neneknya  ke pusat tersebut dengan menaiki bot. Beliau juga berharap supaya banjir tersebut akan surut secepatnya dan dapat kembali semula ke rumah dengan segera.

 

Terdedah Ancaman Buaya, Air Bersih Terjejas

Steven (empat dari kiri) ketika dilawati wartawan Jabatan Penerangan.
Steven (empat dari kiri) ketika dilawati wartawan Jabatan Penerangan.

Walaupun tidak menerima arahan berpindah, halaman rumah salah seorang penduduk Kg Kebatasana yang hanya ingin dikenali sebagai Steven, 58, kelihatan ditakungi air banjir setinggi 5′. Rumah yang terletak di tepi jalan utama itu turut didiami tiga keluarga. Selain kehilangan sekandang ayam kampung, dia dan keluarga turut mengalami masalah bekalan air bersih.

“Air banjir ini mula naik kira-kira jam 4 pagi tadi disebabkan hujan berterusan dan bertembung dengan air pasang. Kawasan ini memang rendah dengan tanah sawah yang menakung air.

“Saya dan keluarga bersyukur kerana tidak diarahkan berpindah, cuma apa yang kami bimbangi ialah ancaman buaya yang ada di Sungai Bengkoka. Dengan keadaaan banjir ini, tidak mustahil buaya-buaya itu akan datang dan mengancam keselamatan penduduk,” ujarnya.

Kisahnya, kejadian banjir pada dua tahun lalu, seekor buaya telah memasuki ke dapur rumah jirannya menyebabkan keadaan panik dan mujur tiada kemalangan jiwa kerana buaya tersebut hanya merenggut seekor ayam yang hampir dengannya.

 

Binatang Ternakan, Tanaman Musnah

Mikson memohon agar kerajaan menyediakan penempatan baharu untuk penduduk di kampungnya.
Mikson memohon agar kerajaan menyediakan penempatan baharu untuk penduduk di kampungnya.

Ketua Kampung Rukom Ulu, Mikson Mogantar, 48, pula memaklumkan kebanyakan binatang ternakan seperti ayam, itik, kambing, sapi dan tanaman milik penduduk kampung telah musnah.

“Beras yang disimpan di rumah telah basah, dan makanan lain juga telah dihanyut banjir. Selain haiwan peliharaan seperti kucing, binatang ternakan juga menjadi korban. Paling menyedihkan, rakan saya yang merupakan pengusaha ikan patin turut terjejas teruk apabila kolam air tawar dilimpahi air bah.

“Peralatan elektrik juga musnah sama sekali dan proses membersihkan rumah itu nanti juga agak meletihkan. Namun, inilah yang terpaksa kami hadapi hampir setiap tahun.

“Kami berharap kerajaan dapat membuat penempatan baharu kepada penduduk kampung terjejas. Mungkin sistem perparitan juga perlu dilihat semula kerana apa yang jelas sekarang ini ialah jalan raya lebih tinggi daripada halaman rumah kami. Jadi bila hujan turun, air kana melimpah masuk ke halaman rumah kami,” ucapnya penuh harapan.

 

Banjir Pulih

Banjir pada 05 Januari lalu, menjejaskan 16 buah kampung melibatkan 281 mangsa daripada 67 buah keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan SK Rukom, Dewan SK Pekan II dan Dewan Terbuka SK Kebilangau Besar.

Kejadian tersebut turut menenggelamkan sembilan jalan utama setinggi 0.1 hingga 0.5 meter daripada paras jalan raya terdiri daripada Jalan Utama Kg Salimpodon Darat, Jalan Utama Kg Indah, Jalan Utama Kg Kusilad, Jalan Utama Kg Pandan Mendamai, Jalan Utama Kg Layang Kanibongan, Jalan Utama Kg Sosop, Jalan Utama Kg Boribi Kanibongan, Jalan Utama Kg Pondoi dan Jalan Utama Kg Kibuluh.

Insiden juga mendapat perhatian Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhailbul yang mengadakan lawatan mengejut ke beberapa sekolah dan lokasi terjejas banjir.

Namun kenyataan dikeluarkan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Kol. Mulliadi Al-Hamdi Ladin, pada hari ini menyatakan pusat penempatan banjir di Dewan Terbuka Kg Bilangau ditutup secara rasmi pada jam 4.00 petang semalam diikuti Dewan SK Pekan II dan SK Rukom masing-masing pada jam 10 dan 11 pagi tadi.

Kerja-kerja menghantar mangsa juga turut dibantu jabatan serta agensi terdiri daripada pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan para pegawai dari Pejabat Daerah ke rumah mereka./PENERANGAN-

Sukarti (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan mengejut ke Pitas.
Sukarti (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan mengejut ke Pitas.

 

Komen


Berita Berkaitan