Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bangunan berkembar HQE dijangka beroperasi akhir tahun

hqe

KOTA KINABALU: Dengan kemasukan jabatan-jabatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) lama secara berperingkat ke bangunan berkembar HQE baharu, bangunan itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Pengarah HQE Dr Heric Corray berkata, bagaimanapun di peringkat awal hanya Jabatan Kecemasan dan Trauma (EMTD) sahaja yang baru beroperasi di bangunan HQE yang baharu, iaitu sejak Mei lalu.

Untuk jabatan lain pula, ia akan dipindahkan secara berperingkat, jelasnya.

Beliau berkata, bangunan baharu itu akan turut dilengkapi dengan tiga bilik bedah iaitu bagi pesakit telinga, hidung dan tekak (ENT), oftalmologi dan pesakit trauma yang dijangka akan beroperasi menjelang 1 September ini.

“Selain EMTD, bangunan berkembar ini juga adalah pusat yang menempatkan wad-wad seperti wad perubatan, wad ENT, wad oftalmologi dan jabatan pemulihan,” katanya kepada pemberita semasa sesi taklimat media mengenai EMTD di HQE, di sini kelmarin.

Mengenai jabatan itu, Heric berkata perkhidmatan kecemasan di Sabah dilihat semakin baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kini, HQE mempunyai seramai tujuh pakar perubatan kecemasan serta dua di HQE 2, Damai dan dua di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas. Jumlah yang ramai ini membolehkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan distabilkan sebelum dipindahkan ke hospital lain.

“HQE dan HQE 2 sudah boleh berdiri sendiri yang mana, pesakit boleh menjalani rawatan penuh di kedua-dua hospital ini,” katanya.

Menurutnya, selain 11 pakar kecemasan terlatih di Kota Kinabalu, terdapat juga pakar di hospital yang ditempatkan di Sandakan (dua pakar) serta dua pakar masing-masing di Tawau Lahad Datu. Selain itu, seorang pakar di Keningau dan tidak lama lagi akan ada seorang pakar kecemasan di Hospital Labuan.

Dalam pada itu, Heric berkata kesemua pesakit Pusat Perubatan Lingzhi juga akan dipindahkan ke HQE kerana pusat itu akan ditutup sebaik sahaja pesakit dipindahkan.

Pusat perubatan itu mempunyai 52 katil yang mampu menempatkan pesakit perubatan umum, geriatrik dan pesakit untuk penyakit-berjangkit.

Jabatan Forensik juga akan turut dipindahkan ke bangunan berkembar HQE.

Heric berkata, HQE mampu dan bersedia untuk menghadapi sebarang penyakit-berjangkit seperti penyakit virus Ebola (EVD).

Beliau memberi jaminan bahawa setakat ini belum ada kes Ebola dilaporkan di negeri ini.

Turut hadir dalam taklimat itu adalah Ketua Pakar Perunding Kecemasan EMTD Dr Ahmad Hashim.

Komen


Berita Berkaitan