Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Balai polis bakal diwujud di KKIP

balai polis kkip

KOTA KINABALU: Penduduk di sekitar Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar bakal menerima impak positif susulan cadangan pembinaan sebuah balai polis baharu di kawasan itu, tidak lama lagi.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, usaha mewujudkan balai itu kini masih dalam peringkat perbincangan namun pihaknya amat bersetuju ia akan memberi manfaat besar kepada kalangan masyarakat di situ nanti.

Untuk rekod katanya, cadangan awal balai polis berkenaan akan merangkumi lokasi seluas enam ekar serta dijangka berdekatan dengan KKIP, Politeknik, Insititut Kemahiran Mara (IKM) serta beberapa kawasan perumahan.

Menurut beliau, setakat ini balai terdekat hanyalah di kawasan Menggatal sementara sebuah pondok polis di Indah Permai sahaja.

“Berikutan terdapat permintaan ramai khususnya penduduk setempat, pihak polis amat bersetuju akan cadangan mewujudkan sebuah balai polis di kawasan KKIP.

“Ia masih dalam peringkat perbincangan dan kita berharap ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Chandra berkata, usaha itu dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan di taman-taman perumahan ekoran KKIP amat popular sebagai hab pendidikan di ibu negeri serta kawasan industri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Polis Bersama Pelanggan di Pusat Komersil Salut, KKIP kelmarin. Turut hadir adalah Ketua Balai Polis Menggatal Sub Inspektor Sulaiman Rahmat.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Chandra berkata Ops Selamat V dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai objektif berikutan respon positif daripada orang ramai terhadap pelaksanaannya sejak 21 Julai lalu.

“Setakat 21 hingga 5 Ogos lalu, seramai 261 penghuni rumah yang telah mengisi borang bersempena pelaksanaan Ops Selamat V bersempena Aidilfitri lalu difahamkan berpuas hati mengenai tahap keselamatan kediaman mereka.

“Sehubungan itu, kita berasa yakin Ops Selamat V di kawasan Kota Kinabalu ini akan mencapai sasaran sifar jenayah pecah rumah dalam usaha polis membendung jenayah berlaku ketika musim-musim perayaan,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan