Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Balai Bomba & Penyelamat perlu segera dibina di Putatan- Yahya

4:51pm 03/11/2016 Elezebeth Esther Onjining 230 views Isu Semasa,Tempatan,YB Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin
YAHYA menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan makanan kepada mangsa kebakaran Kampung Tebongon, Putatan sambil diperhatikan oleh Ag.Abd.Ghani (dua dari kanan) dan Juliah (empat dari kiri).

YAHYA menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan makanan kepada mangsa kebakaran Kampung Tebongon, Putatan sambil diperhatikan oleh Ag.Abd.Ghani (dua dari kanan) dan Juliah (empat dari kiri).

PUTATAN- Adun N.18 Petagas, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin menggesa agar Balai Bomba dan Penyelamat segera dibina di daerah Putatan.

Yahya yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata Putatan yang amat pesat membangun dengan jumlah penduduk kira-kira 100 ribu orang amat memerlukan sebuah balai bomba.

Beliau berkata, seringkali apabila berlaku kebakaran rumah di kampung, pasukan bomba dari balai berdekatan seperti Penampang dan Sembulan tidak sempat menyelamatkan rumah yang hangus.

“Justeru, kita mahu kementerian berkaitan di peringkat Kerajaan Pusat segera membina balai bomba dan penyelamat di Pekan Putatan”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada tiga buah keluarga di Kampung Tebongon yang tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada petang 1 November 2016 yang lalu.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Putatan, Haji Ag Abd.Ghani Pg.Yusoff, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Putatan, Puan Juliah Palasin dan pemimpin masyarakat setempat.

Yahya telah menyerahkan bantuan daripada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah kepada mangsa-mangsa kebakaran terdiri daripada Jamali Yusuf,  Mohd.Zainie Saiman dan Mohd Zareen Saiman.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata, tanah seluas dua ekar di kawasan pekan telah tersedia sebagai tapak untuk membina balai bomba dan penyelamat.

“Sekarang kita menunggu tindakan lanjut kementerian berkaitan untuk membina balai bomba tersebut. Kita berharap ianya dapat dimulakan  secepat mungkin, selewat-lewatnya tahun hadapan”, tegasnya.

Beliau juga mengingatkan penduduk Kampung Tebongon agar tidak membina rumah terlalu dekat dengan jalan raya sehingga menyukarkan kenderaan berlalu lalang.

Katanya, penduduk kampung perlu mengelak membina rumah terlalu dekat diantara satu sama lain dan juga di kawasan yang tidak dibenarkan oleh kerajaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Yahya mengingatkan penduduk kampung agar tidak melakukan pendawaian haram yang tidak dibenarkan oleh pihak berwajib.

Yahya juga mahu penduduk kampung bersatu-padu dan bekerjasama demi keharmonian dan pembangunan kampung mereka.

Sementara Biro Kebajikan UMNO Bahagian Putatan yang diketuai oleh Juliah dan Program Membara Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Putatan turut menyampaikan bantuan berupa wang tunai dan bahan makanan kepada mangsa kebakaran.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan