Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Bakti, jasa pasukan keselamatan perlu dihargai: Hamisa

hamisasamat

TAWAU: Bakti dan jasa pasukan keselamatan berjuang mempertahan negara sentiasa dihargai, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat.

Menurutnya, tanpa pengorbanan dan kesetiaan pasukan keselamatan, sudah tentu negara tidak dapat menikmati keamanan dan kesejahteraan seperti yang dikecapi pada masa kini.

Jelas beliau sebagai kerajaan dan rakyat yang prihatin, kita sentiasa menghargai dan mengingati pengorbanan mereka.

“Menerusi sumbangan kuih-muih dan sebarang bentuk penghargaan termasuklah ucapan selamat dan terima kasih kepada mereka yang bertugas semasa musim perayaan.

“Sumbangan ini agak sederhana dan tidaklah sebesar pengorbanan dan jasa bakti mereka, tetapi ini membuktikan bahawa anda sentiasa di kenang dan sanjung tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sumbangan Biskut Raya kepada Angkatan Tentera Malaysia, PGA, MARITIM, ATB, RMAD 516 dan KD Sri di Kem Kukusan, Tawau kelmarin.

Hamisa yang juga wakil rakyat Tanjong Batu amat berpuas hati dengan semangat daya juang yang tinggi dan penuh dedikasi oleh anggota keselamatan dalam memikul amanah dan tanggungjawab pasukan masing-masing di negeri ini.

“Kita dapat menumpukan lagi usaha-usaha untuk memacu pembangunan dan kemajuan negeri bagi kesejahteraan kita bersama apabila wujudnya keamanan, kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan keharmonian sosial dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

“Saya percaya selain menghargai sumbangan bakti dan pengorbanan anggota pasukan, majlis ini juga dapat mengukuhkan lagi silaturahim, keakraban dan semangat kerjasama antara rakyat, kerajaan dan pasukan keselamatan,” ujarnya.

Tegas beliau hakikatnya, memelihara keamanan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua pihak-pasukan keselamatan, penguatkuasa undang-undang, pemimpin dan rakyat pada keseluruhannya.

Komen


Berita Berkaitan