Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Baju, kuih raya dari penjara

PENGHUNI penjara hanya dikenali sebagai Wani (kanan) bersama Azura (kiri) menyediakan biskut coklat kacang almond untuk dijual pada Hari Raya sambil diperhati penyelia dan kakitangan penjara di Bengkel Pastri, Jabatan Penjara Wanita Kota Kinabalu. – Foto Mohd Adam Arinin

 

KOTA KINABALU: “Dulu pegang jarum pun tak pernah, sekarang saya mampu menjahit dua pasang baju kurung biasa sehari untuk tempahan raya,” kata Minah, 33, (bukan nama sebenar), penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu.

Dia antara 18 penghuni penjara itu yang tak menang tangan mengambil upah menjahit baju, selain menyiapkan tempahan biskut raya sepanjang Ramadan ini, sekali gus kesibukan menghalang mereka daripada meratapi nasib di sebalik tirai besi.

“Saya banyak buang masa sebelum ini, namun sejak berada di sini, banyak pengalaman diperoleh, kini saya mampu menjahit pakaian dan kemahiran ini akan saya gunakan untuk memulakan hidup baru kelak,” kata Minah yang menjalani hukuman penjara lima tahun tiga bulan sejak Ogos 2016 atas kesalahan mencuri kereta dan dadah.

Aktiviti bengkel jahitan dimulakan 10 tahun lalu di penjara berkenaan dan kini lebih 25 mesin jahitan dibekalkan kepada pelatih untuk menyiapkan tempahan baju raya, cadar serta langsir daripada orang luar mahupun kakitangan penjara.

Wartawan NSTP yang mengunjungi penjara itu baru-baru ini turut berkesempatan melihat lebih dekat aktiviti banduan wanita membuat biskut raya yang biasanya ditempah lebih awal untuk jualan sempena Syawal.

Tanpa kemahiran dalam bidang masakan apa lagi pembuatan pastri dan biskut, banduan dikenali sebagai Siti, 24, yang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun atas kesalahan merompak mengakui cuma tahu nama biskut raya, namun tidak pernah membuatnya sendiri.

“Saya tidak pernah membuat biskut raya ketika berada di luar (rumah) sebelum ini, saya mendapat kemahiran itu di sini (penjara). Sekarang saya tahu buat beberapa jenis biskut raya seperti tart nenas, biskut arab, almond london dan makmur, selain pelbagai jenis kek,” katanya yang menghuni penjara itu sejak 30 Oktober 2015.

Bagi Azura, 32, dia mengakui lebih mahir dalam pembuatan makanan sejuk beku, namun sebelum Ramadan lagi turut terbabit membuat pelbagai jenis biskut ditempah orang ramai.

“Saya memang tidak mahir dalam semua ini, namun sejak 19 bulan berada di sini, saya sudah pandai membuat biskut, bermula dengan mengenal pasti bahan, mengadun, membuat dan seterusnya membakar biskut,” katanya yang menjalani hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan pecah amanah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Nur Raudzah Mohamad Shahimi, berkata kemahiran diperoleh banduan wanita terutama dalam bengkel membuat biskut dan pastri serta menjahit, mampu mempersiapkan diri menjadi insan berguna dan berkemahiran selepas dibebaskan kelak.

Katanya, mereka bukan saja mendapat kemahiran dalam dua bidang itu malah akan mendapat sijil selepas terpilih mengikuti Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

“Sejak 2013, seramai 100 banduan mendapat persijilan SLDN dan tujuh orang akan mengikuti tahap dua persijilan SLDN dengan enam daripadanya membuat biskut dan pastri, manakala seorang dalam bidang menjahit bermula Ogos ini.

“Bagi mereka yang didaftarkan di bawah SLDN khas, akan diberi insentif RM625. Kadar insentif itu dibahagikan, iaitu RM200 digunakan untuk membeli barang keperluan dalam bidang masing-masing manakala RM125 untuk insentif pusat latihan dan RM300 adalah elaun perantis.

“Mereka yang ada sijil SLDN ini bukan saja diajar kemahiran, malah teori dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Mengenai aktiviti membuat biskut raya, Nur Raudzah berkata, ketika ini penghuni menyiapkan tempahan daripada orang ramai serta jabatan dan agensi kerajaan negeri.

“Sasaran hasil kutipan jualan biskut raya kita tahun ini ialah RM70,000, manakala sasaran setahun bagi bengkel ini (bengkel pastri dan biskut) adalah RM200,000,” katanya sambil menambah penjara itu kini menempatkan 244 penghuni atas pelbagai kesalahan. –¬†Oleh Suzianah Jiffar/BH Online

Komen


Berita Berkaitan