Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

BAJAU LAHIRKAN ANAK JATI PERTAMA JADI DOKTOR PAKAR

doktor

SEMPORNA, 2 Mac  : Masyarakat Bajau di Sabah boleh berbangga kerana kini lahir seorang Pakar Bius dalam kalangan mereka.

Dr. Mohd Faizal Hisham anak jati Kampung Bubul, Semporna, sekarang bertugas sebagai Pakar Bius di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Memiliki Sarjana Perubatan Bius – Master of Medicine (Anaesthesiology) dari Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Faizal, 35, anak sulung daripada tiga beradik, pernah berkhidmat dan mencurahkan bakti di hampir setiap hospital di Sabah.

Antaranya Hospital Besar Tawau, Hospital Semporna, Hospital Likas, dan sebagai Timbalan Pengarah di Hospital Kunak.

Beliau juga pernah bertugas di Hospital Kubang Kerian Kota Baharu, Kelantan. Setelah bertugas sebagai doktor pakar di beberapa hospital beliau dikurniakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2003.

Ditanya mengenai resipi dan rahsia di sebalik kejayaannya, Mohd Faizal berkata: “Pertamanya ialah hasil kegigihan saya belajar sejak dari sekolah rendah sehingga ke universiti”.

Mohd Faizal sering menjadi antara pelajar terbaik serta selalu mendapat keputusan cemerlang di sekolah.

Pada 1996 beliau berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Asasi Sains Kemanusiaan di Universiti Malaya (UM).

Setelah memperolehi sarjana muda Perubatan dan pembedahan (MBBS) di UM, beliau melanjutkan pengajian ke USM.

“Selain itu kejayaan ini juga adalah hasil dorongan dan pengorbanan kedua-dua orang tua saya – Datuk Mohd Hisham Abd Fattah serta arwah ibu Faridah Lbno Badri.

“Sebelum ibu meninggal dunia pada 1994, beliau sangat berharap agar saya menjadi seorang doktor.

“Arwah ibu meninggal dunia akibat leukemia dan hal itu menjadi pembakar semangat saya untuk menjadi seorang doktor,” katanya.

“Saya juga amat bersyukur ke hadrat Ilahi di atas kejayaan ini dan tidak dilupakan, rakan-rakan dan sanak saudara yang sentiasa menyokong saya.

“Tidak dilupakan juga buat pensyarah saya yang banyak memberikan tunjuk ajar,” kata Mohd Faizal yang telah mendirikan rumah tangga bersama Norhayati Abdullah yang juga seorang doktor di Hospital Raja Puan Zainab II, Kelantan.

Mereka mempunyai seorang cahaya mata, Nurain Fazrina, 9.

Mohd Faizal berharap kelak ada lagi anak Bajau yang berjaya mengikuti jejak langkahnya.

Semporna, yang terletak di pantai timur Sabah terkenal dengan pelbagai tarikan pelancong bertaraf dunia termasuk aktiviti menyelam di pulau Sipadan dan Mabul.

Tarian Daling-daling amat popular di daerah ini.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan