Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,752

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Baginda Yang Kita Cinta

11:21pm 17/12/2015 Zakir Sayang Sabah 56 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Rasulullah SAW. Semua ummat Islam mengaku mencintai baginda. Berlumba-lumba menzahirkan cinta terhadap baginda.

Ramai yang berusaha menzahirkan cinta kepada baginda dengan pelbagai cara. Meratib selawat, berqasidah, berarak, membuat program-program dan sebagainya, bersempena hari lahirnya, dan tidak kurang juga ada yang menyanjung-nyanjung mereka yang dikatakan ‘keturunan’ baginda, semuanya dikatakan sebagai cinta kepada baginda. Ada juga yang menyakiti kaum dan agama lain, atas nama cinta yang mendalam kepada baginda.

Namun kita muhasabah kembali.

Apa sebenarnya yang baginda bawa?

 

Baginda Rahmatan Lil ‘Alamin

Rasulullah SAW adalah rahmat kepada sekalian alam.

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah Al-Anbiya’ ayat 107.

Mengapakah baginda menjadi rahmat kepada seluruh alam? Apakah kerana pada tubuh baginda ada kesaktian? Apakah kerana pada baginda ada kuasa yang luar biasa untuk memberikan ‘kehidupan’ kepada seluruh alam?

Tidak. Kerana baginda juga manusia. Tidak punya kuasa keajaiban. Mukjizat yang ada, dan segala apa yang istimewa pada baginda, adalah kurniaan Allah SWT.

Namun bagidna menjadi rahmat kepada sekalian alam, adalah kerana baginda membawa Islam. Perhatikan sambungan ayat tadi:

“Katakanlah: Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?” Surah Al-Anbiya’ ayat 108.

Baginda adalah yang paling menerapkan Islam dalam seluruh kehidupan baginda. Hingga apabila ditanyakan kepada Aisyah RH akan akhlak baginda, Aisyah RH menjawab: “Akhlak baginda seperti Al-Quran.”

Maka buktinya cinta kita kepada baginda, pada pendapat saya, adalah dengan membawa Islam itu dalam bentuknya yang sempurna dan menyeluruh, agar kita mampu menyebarkan rahmat kepada sekalian alam ini. Bukan tersekat pada sambutan-sambutan tertentu, terlimit dengan majlis-majlis tertentu, atau taksub dengan golongan-golongan yang tertentu.

Kerana spirit Islam tidak membawa semangat ketaksuban kepada satu-satu individu. Sebab itu Nabi Muhammad SAW melarang kita menyembah baginda. Bahkan Nabi SAW pernah melarang orang berdiri menyambut baginda. Hingga begitu sekali. Menunjukkan betapa tujuan kedatangan Islam bukan untuk memuliakan Nabi Muhammad SAW. Tetapi adalah untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam. Perjuangan itu yang digerakkan, dipikul oleh Rasulullah SAW, dan sepatutnya itulah yang diusaha keraskan oleh kita semua.

Lihatlah bagaimana Allah SWT menegur para sahabat, kala semangat mereka hilang di tengah medan Uhud, tatkala sampai berita kepada mereka bahawa Rasulullah SAW telah terbunuh:

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” Surah Ali-Imran ayat 144.

Ayat yang sama kemudiannya dibacakan oleh Abu Bakr RA kala para sahabat kelihatan hilang semangat semasa kewafatan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tidak berlapar, tidak berkorban, tidak terluka, sepanjang perjuangan baginda selama 23 tahun itu untuk dirinya dipuji, diratib dalam majlis-majlis. Tetapi kerana baginda hendak membawakan Islam kepada ummat ini. Supaya Islam ini menjadi praktis hidup ummat, sekaligus menumpahkan rahmat kepada sekalian alam.

Atas tuntutan itulah kita melihat Rasulullah SAW sebagai ketua negara(ahli politik), sebagai imam, sebagai suami, sebagai datuk, sebagai ketua perang, sebagai sahabat, dan pelbagai lagi lapangan hidup. Menyeluruh. Dan tidaklah boleh kita pisah-pisahkan, dan mengambil bahagian yang kita mahu sahaja. Kerana itu akan menjauhkan kita dari spirit sebenar yang hendak dibawa oleh baginda.

 

Apakah Kita Membuktikan Cinta Tersebut?

Maka kita kembali kepada diri kita, bagaimanakah cinta kita kepada Rasulullah SAW?

Apakah kita membuktikannya, dengan menggerakkan Islam itu dalam kehidupan kita?  Adakah kita memikul spirit perjuangan Rasulullah SAW, dan berusaha bersungguh-sungguh menyebar luaskan kefahaman Islam kepada seluruh alam?

Atau kita sekadar menjadi fitnah kepada nama baginda yang mulia, dan perjuangan baginda yang suci itu, dengan sikap kita yang jelek, dan langsung tidak menggambarkan Islam itu sendiri? Persoalan.

Adakah kita pernah menyelak Raheeq Al-Makhtum karangan Sheikh Mustafa Mubarakfuri, dan kemudian membandingkan kehidupan kita dengan baginda?

Adakah kita pernah menelaah Kitab Syamail Muhammadiah susunan Imam An-Nawawi, dan kemudian membandingkan keadaan kita dengan baginda?

Atau sekadar tahu meratib selawat, memakai pakaian yang dikatakan ‘pakaian sunnah’, tetapi meninggalkan spirit perjuangan Rasulullah SAW yang syaamil dan kaamil itu?

Kadang malu diri kita hendak mengaku ummat baginda. Sedangkan menjadi tanggungjawab untuk kita mengambil baginda sebagai qudwah terbaik dalam kehidupan ini.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” Surah Al-Ahzab ayat 21.

 

Penutup: Mereka Telah Membuktikan Cinta Mereka

Telah berlalu  sebelum kita orang-orang yang jauh lebih mencintai Nabi Muhammad SAW berbanding kita. Orang-orang yang telah berkorban harta, nyawa, jiwa dan raga mereka. Di sisi baginda susah dan senang. Bermati-matian bersama baginda. Kita sepatutnya menyelak kisah-kisah mereka, melihat bagaimana mereka menzahirkan cinta mereka kepada Rasulullah SAW, seterusnya mencontohi baginda.

Lihatlah bagaimana mereka meneruskan perjuangan baginda, menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia, berakhlak dengan akhlak baginda, hingga benar-benar terasa Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam. Teknologi dijuarai, bidang ilmu kita terkehadapan, ketamadunan paling tinggi, kemakmuran yang paling hebat, dan keamanan yang tiada tandingan.

Sudah sepatutnya kita keluar dari mimpi-mimpi. Bangkit dari lena yang panjang. Keluar dari ubat pelali-ubat pelali yang menidurkan.

Melihat kepada tanggungjawab sebenar, sebagai seorang yang benar mencintai Rasulullah SAW.

Di manakah kita?

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan