Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,706

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Bagaimana Seorang Gelandangan Mampu Menjadi Pelajar Terbaik

12:20pm 13/08/2016 Zakir Sayang Sabah 136 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

“I make the grades I do because I was once LOST, and had NOTHING.…”

Bagaimana agaknya rasa bila kita hilang segala-galanya? Hilang ibu bapa, saudara dan tempat tinggal sehingga tiada lagi tempat untuk dituju.

Griffin Furlong telah melalui semua ini.

Rasa perit kehilangan ibu tersayang, rasa pilu meninggalkan rumah tempat dia membesar. Rasa tidak dipedulikan oleh sesiapa. Dan dia baru sahaja berusia 6 tahun pada ketika itu.

Tetapi anak kecil ini sangat istimewa. Griffin menulis “Never give up!” pada setiap topi bola keranjang yang dikumpulnya pada setiap musim. Kata-kata ini seperti bisikan pada hati walaupun dia sendiri tidak tahu di rumah gelandangan mana dia akan tidur pada malam nanti.

Griffin Furlong menamatkan pengajian sekolah tinggi sebagai pelajar terbaik dan diberi peluang memberikan ucapan Valedictorian. Valedictorian bermakna pelajar dengan pencapaian akademik dan ko-kurikulum terbaik mengatasi ratusan pelajar tahun akhir yang menamatkan pengajian.

Ucapan Valedictorian Griffin ini telah menyentuh banyak hati dan membuatkan guru-gurunya menitiskan air mata. Griffin akhirnya memberitahu semua orang bahawa dia tidak pernah ada tempat yang dipanggil rumah selama ini tetapi tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Kehilangan kadangkala membuatkan kita terduduk atau berhenti berharap. Tetapi lelaki ini mengajar kita bahawa hilang bermakna kita harus bangun dan mencari. Jika terus berlari lebih baik!

Pelajari sesuatu dari kisah lelaki tiada rumah bernama Griffin Furlong ini.

1. Berhenti Bersedih

Sebenarnya cara kita melalui cabaran hari ini akan meletakkan kita di satu-satu tempat pada masa depan. Griffin Furlong menerima hakikat bahawa leukemia telah membawa pergi ibunya untuk selama-lamanya. Griffin menerima bahawa dia perlu meninggalkan rumah tempat dia membesar kerana masalah kewangan keluarga. Sudah pasti dia merasa sangat sedih tetapi dia tidak tenggelam dalam kesedihan itu.

Griffin bangun dari kesedihan dan meneruskan langkah kakinya. Apa yang telah dilalui oleh Griffin telah memaksa dia untuk melompat lebih tinggi dari orang lain.

“Don’t dwell on the past. Use it as motivation for your future”.Griffin Furlong

2. Mula Berlari

Menjadi anak gelandangan bukannya mudah. Griffin perlu berpindah dari satu rumah gelandangan ke satu rumah yang lain. Dia perlu menaiki beberapa buah bas sebelum tiba ke sekolah. Perlu memikirkan tempat tidur malam nanti, apa yang hendak dimakan hari ini, tambang bas dan yuran sekolah. Griffin tahu jika dia cemerlang dalam pelajaran, dia akan menerima biasiswa yang memberikan dia pendidikan percuma.

Jadi Griffin turut aktif dalam sukan bola keranjang bagi menjadikan dia antara calon yang terbaik di sekolah. Akhirnya dia berjaya dan terus cemerlang di sepanjang persekolahannya.

Tidak ramai yang tahu kisah hidup Griffin yang sebenar. Kawan-kawan dan guru menganggap dia pelajar dari keluarga normal yang memang dilahirkan bijak. Sebenarnya Griffin bukan genius cuma dia berusaha bermati-matian untuk berjaya. Di sebalik semua “tiada” dalam hidupnya, dia perlu ada sesuatu untuk dibuktikan – kejayaan.

“Every single one of my peers thinks I live and have lived a normal, everyday life.
Everyone thinks I try to get good grades because I’m smart. Not true.

I make the grades I do because I was once lost, and had nothing”
Griffin Furlong

3. Akukan Abang! – Sean Furlong

Kita selalu dengar perkataan best friends forever (bff). Walau berapa rapatnya kita dengan kawan-kawan, orang yang paling menyayangi kita sebenarnya adalah keluarga kita sendiri. Griffin bertuah kerana masih mempunyai abang, Sean Furlong. Griffin dan Sean ketawa, menangis dan menempuhi hidup ini bersama-sama. Sehebat mana pun kita di mata orang lain, ada masanya kita perlukan keluarga juga. Bantu keluarga kita selagi terdaya sebelum kita membantu orang lain.

Sean sentiasa bersama Griffin, menyambut ketika dia jatuh, meminjamkan bahu tempat untuk bersandar dan menangis. Tidak kurang hebat, Sean Furlong terlebih dahulu berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang kejuruteraan. Sean dan Griffin mengajar kita bahawa rumah itu adalah apabila kita (adik-beradik) ada bersama-sama, tidak kira jika ia berbumbung langit atau terpaksa berkongsi sepiring makanan bersama.

Tidak ada saudara-mara? Sebagai muslim kita bertuah kerana semua orang Islam adalah saudara kita. Tidak pernah pun kita bersendirian di dunia ini.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara”.
Al-Hujurat : 10

Menamatkan pengajian sebagai seorang Valedictorian adalah hadiah kepada pengorbanan Griffin Furlong selama ini. Bukan mudah untuk memberitahu diri sendiri bahawa kita boleh berjaya selama 11 tahun (sejak darjah 1) sambil melihat orang lain pulang setiap hari ke rumah masing-masing dan hidup dilimpahi kebahagiaan. Bagi Griffin berputus asa bukanlah satu pilihan kerana setiap orang berhak untuk menentukan impian hari esok.

Memang benar sebuah rumah memberikan rasa kembali, selamat dan bahagia kepada seseorang, tetapi Griffin berusaha mencari definisi bahagianya sendiri.

“I know that I have everything to lose.
So, I just push myself.
School is all I have, family is all I have.
I am doing it all for me and what I have been through.
I am doing it for my Mom”.
Griffin Furlong

Membaca kisah Griffin Furlong ini buat kita tersedar juga ada orang di sekeliling kita mungkin seperti Griffin. Mereka berahsia kerana tidak mahu dipandang rendah. Ada anak kecil kehilangan ibu atau ayah yang sangat merindui pelukan seorang Mama atau Papa. Jadi berikan perhatian pada orang sekeliling seperti kawan-kawan anak kita, percaya pada gerak hati dan hulurkan kasih-sayang yang tidak bertepi. Adakalanya pelukan dan ajakan untuk makan malam di rumah lebih berharga daripada wang ringgit yang kita hulurkan.

Griffin Furlong menamatkan pengajian sekolah tinggi dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.65, antara catatan terbaik di sekolahnya. Dia bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Florida State University dalam bidang Kejuruteraan Sivil seperti abangnya Sean. Kisah Griffin masih panjang tetapi kita tahu dia tidak akan pernah berhenti. Tidak mungkin!

“Giving up is not an option”
Griffin Furlong

Jadi siapa kata kita perlukan sebuah rumah yang besar dan selesa untuk berjaya?

Mungkin mereka belum pernah mendengar cerita Griffin Furlong!

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Nordiana Ali)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan