Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,746

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Bagaimana Menjaga Ikhlas Dalam Beramal

6:19pm 03/11/2016 Zakir Sayang Sabah 114 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Al-Ikhlas dalam rukun baiah terletak antara Al-Fahmu (rukun pertama) dan Al-Amal (rukun kedua). Susunan yang sangat cantik sekiranya kita teliti pensyarahan ketiga-tiga rukun baiah ini. Kepentingan ikhlas dalam satu-satu amal memang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Berapa ramai manusia yang beramal tanpa ikhlas dan akhirnya segala amalnya itu lebur menjadi abu berterbangan. Kosong.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ikhlas?

” Ikhlas adalah seorang akh Muslim yang bermaksud dengan kata-katanya, amal dan jihadnya, seluruhnya, hanya kepada Allah, untuk mencari redha Allah dan balasan yang baik dari Allah tanpa melihat kepada keuntunga, kedudukan, gelaran, dan kemajuan. Dengan demikian dia menjadi tentera aqidah atau fikrah dan bukan tentera keinginan dan manfaat. ” – Hasan al-Banna

Ikhlas menjadi kekuatan iman yang mendorong seseorang setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk membersihkan diri dari kepentingan-kepentingan peribadi, agar segala maksud dan tujuan amalnya hanyalah kerana dan untuk Allah semata tanpa mengharap balasan mahupun pujian.

” Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. {8} Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih. {9}” (Al-Insan : 8-9)

Dr. Majdi al-Hilali ada menggariskan beberapa panduan dan pedoman buat para aktivis dakwah melalui bukunya ‘Rakaizud Dakwah’ tentang bagaimana kita mengesan tanda-tanda al-ikhlas dalam setiap amal. Pastinya panduan dan pedoman ini adalah sebagai muhasabah kendiri para aktivis dakwah dan bukannya sebagai hujah atau senjata untuk menilai niat amal orang lain kerana hanya Allah yang berhak menilai niat amal seseorang.

Beliau menyebut antara tanda amal itu ikhlas dan jujur adalah sentiasa berprasangka terhadap diri sendiri dengan amal yang telah dilakukan. Perasaan khuatir sama ada dia telah terpesong dalam niatnya. Sebagaimana firman Allah dalam surah alMukminun ayat 60. Beginilah sifat dan keadaan orang soleh, tidak pernah melihat kelebihan diri sendiri dari orang lain, bahkan sentiasa menganggap dirinya orang yang paling buruk dan jelek di sisi Allah.

” Jika engkau melihat orang yang lebih besar dari dirimu, katakanlah, ‘orang ini telah mendahuluiku dengan iman dan amal soleh maka dia lebih baik dari diriku.’ dan jika engkau melihat orang yang lebih kecil darimu maka katakanlah, ‘ aku telah mendahuluinya dengan dosa dan maksiat, maka dia lebih baik dari diriku.” – Bakr bin Abdullah

Antara tanda yang lain adalah sering melihat orang lain lebih baik dari dirinya. Perasaan ini sebagai satu benteng supaya diri sendiri tidak merasa aman dari mujahadah terhadap bisikan nafsu dan syaitan supaya riak dengan amalan sendiri. Dan sebenarnya banyak lagi contoh kisah orang soleh terdahulu berhadapa dengan permasalahan niat dan ikhlas. Semoga kita tergolong dalam golongan orang soleh yang sentiasa bermujahadah menyucikan niat dalam amal seharian.

Lalu persoalan yang lebih utama adalah bagaimana menjaga ikhlas dalam amal?

1) Pertolongan Allah

Tidak boleh dinafikan, perjuangan menyucikan niat dalam setiap amal adalah satu perjuangan yang panjang dan perit. Sebagai contoh, boleh jadi amal sedekah kita hari ini, pada awalnya ikhlas dan suci hanya semata mata kerana Allah, tapi keesokan harinya, apabila ada rakan yang memuji tindakan kita bersedekah semalam, kita jadi riya’. Maka hangus dan sia-sialah amal sedekah itu walaupun pada awalnya ia telah bersih dan suci.

Sabda Nabi : انما الأعمال بالخواطب
– Setiap amal itu bergantung kepada pengakhirannya.

Lalu disinilah peranan doa dan pengharapan kepada pemilik hati yang mudah berbolak balik; Allah. Haanya kerana Allah sahajalah yang Maha Mengetahui kelebihan dan kemampuan kita dalam menghadapi halangan dan rintangan menuju ikhlas. Memohon pertolongan Allah memerlukan kita untuk merasa hamba, tidak punya apa melainkan apa yang telah Allah berikan.

Ibnu Athaillah mengingatkan supaya teliti dalam empat perkara melalui kitabnya ‘Al-Hikam’, “Telitilah dengan sifat-sifatmu maka Allah akn membekalimu dengan sifat-sifatNya, telitilah dengan kerendahanmua maka Allah akan membekalimua dengan kemuliaanNya, telitilah dengan kelemahanmu maka Allah akan membekalimu dengan kekuasaannya, dan telitilah dengan ketidakmampuanmua maka Allah akan membekalimua dengan daya dan kekuatanNya.”

2) Mengakui segala nikmat adalah dari Allah

Setiap dari kita, haruslah sedar bahawa tidaklah sesuatu nikmat itu Allah berikan kepada kita atas sebab kelebihan yang ada pada kita. Hatta kelebihan yang ada pada kita itu pun, contohnya ilmu, merupakan satu nikmat yang Allah berikan. Jadi atas sebab apa yang kita mahu meninggi diri mendabik dada dan berjalan bongkak di atas muki bumi Allah ini. Jika tidak kerana rahmat dan cintanya Allah pada kita, tiada apa yang kita miliki.

Sentiasalah memuhasabah diri, ketika kita terhimpit dalam kesusahan siapakah yang mengilhamkan jalan keluar? Ketika kita teraba dalam kegelapan jahiliah, siapakan yang mengeluarkan kita ke arah cahaya ilmu dan iman? Siapakah yang menunjukkan jalan hidayah? Mengapa kita yang Allah pilih untuk berikan semua nikmat ini dan mengapa bukan orang lain? Semua persoalan ini akan membawa kita kepada satu hakikat bahawa tanpa Allah siapakah kita (?)

” Sebenarnya Allah, Dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjukkan kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar (Al-Hujurat : 17)

3) Menjauhkan diri dari silauan populariti.

Ramai dari kalangan kita, samaada aktivis dakwah mahupun para asatizah, mudah tersilau dengan sorotan cahaya populariti. Semakin dekat dengan cahaya populariti tersebut semakin kita melihat diri kita besar dan hebat walhal hakikatnya yang semakin besar hanyalah bayang-bayang kita. Bayangan ini telah banyak menipu manusia. Tidak terkecualilah para aktivis dakwah mahupun asatizah. Mereka melihat orang lain lebih rendah, lebih kurang ilmu dan serba kekurangan jika dibandingkan dengan mereka.

4) Merasa curiga kepada hawa nafsu

Setiap kita haruslah selalu merasa curiga dengan keikhlasannya. Apabila sebelum melakukan sesuatu perbuatan, telitilah sebab-sebab keikhlasan itu dan berusaha menyucikan niat hanya kerana Allah. Memohon pertolongan Allah dalam mujahadah ikhlas ini.

Setiap hari muhasabah dan cuba ingat kembali dalam sehari cuba senaraikan amal ibadah yang dilakukan dalam sehari ini, berapa banyak yang benar-benar ikhlas untuk Allah? atau semuanya telah terpesong niat dan matlamatnya.

Kesimpulannya, ikhlas dalam amal bukanlah suatu matlamat, tapi ianya suatu perjalanan yang panjang dan berat. Di hadapan perjalanan itu, tersusun dengan dunia dan segala keindahannya, nafsu dengan kebodohannya dan syaitan yang tidak pernah jemu. Tidak ada yang sanggup merentasi jalan ikhlas ini melainkan orang yang telah meminta pertolongan Allah, meneliti makna ubudiyah kepada Nya dan berjihad melawan nafsunya.

Semoga kita tergolong dalam golongan orang soleh yang sentiasa bermujahadah menyucikan niat dalam amal seharian.

(Sumber: QuranicGen.com, oleh Fakhrur Radzi Ahmad Fuad)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan