Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Badi enam tahun Harimau Malaysia berakhir

6:59pm 20/11/2016 Pak Roshan 1142 views Berita Pilihan,Mutakhir,Sukan
PEMAIN Malaysia , Syazwan Zainon (tengah) menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Kemboja di Stadium Thuwunna pada perlawanan kumpulan B Piala AFF 2016. - Foto Osman Adnan

PEMAIN Malaysia , Syazwan Zainon (tengah) menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Kemboja di Stadium Thuwunna pada perlawanan kumpulan B Piala AFF 2016. – Foto Osman Adnan

YANGON: Impian Harimau Malaysia untuk menamatkan badi enam tahun tanpa kemenangan pada aksi pembukaan Piala AFF Suzuki akhirnya berjaya direalisasikan selepas menewaskan Kemboja 3-2 di Stadium Thuwunna, di sini, sebentar tadi.

Harimau Malaysia bagaimanapun terpaksa bertungkus lumus sebelum menewaskan Kemboja selepas dua kali ketinggalan iaitu pada minit ketujuh dan 58.

Dalam tiga edisi sebelum ini, Harimau Malaya tewas semua perlawanan pembukaan termasuk dimalukan Indonesia 1-5 pada 2010, sebelum tewas 3-0 kepada Singapura (2012) dan sekadar terikat tanpa jaringan dengan Myanmar dua tahun lalu.

Harimau Malaysia dikejutkan dengan jaringan pembukaan Kemboja seawal minit ketujuh perlawanan menerusi pemain tengah mereka Chan Vathanaka.

Bagaimanapun, jaringan itu menimbulkan kontroversi apabila penjaga garisan sudah mengangkat bendera menandakan Vathanaka berada dalam posisi ofsaid sebelum meledak gol.

Tersentak dengan jaringan itu, Harimau Malaysia cuba bangkit memburu gol penyamaan dan usaha mereka berhasil menerusi gol Syazwan Zainon yang bijak menyudahkan hantaran Irfan Fazail pada minit ke-36.

Jaringan itu jelas menaikkan semangat Harimau Malaysia yang dilihat lebih mendominasi permainan sejak permainan dan Amri Yahyah hampir meledak gol kedua pada minit ke-42, namun rembatan lencongnya sedikit tersasar.

Anak didik Kim Swee bermula garang sebaik bersambung babak kedua apabila rembatan deras pada minit ke-46 Syazwan menggegar palang gol Kemboja yang dikawal Sou Yaty.

Kemboja bagaimanapun bangkit dengan beberapa serangan berbahaya dan skuad kendalian Lee Tae Hoon itu sekali lagi berjaya mendahului menerusi Vathanaka pada minit ke-58.

Kegembiraan mereka hanya bertahan 10 minit selepas pemain veteran, Amri Yahyah menyamakan kedudukan buat Harimau Malaysia dengan menyudahkan hantaran silang Ahmad Hazwan Bakri.

Nasib terus tidak menyebelahi Harimau Malaysia untuk mendahului apabila rembatan kencang Irfan Fazail pula dihalang palang gol Kemboja.

Amri akhirnya memberi tiga mata bermakna buat Harimau Malaysia apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-80 untuk mengesahkan kemenangan 3-2 kepada Harimau Malaysia. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan