Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Azizah cadang Bank Islam buka cawangan di Beaufort

bankislam

BEAUFORT: Bank Islam Malaysia Berhad disaran supaya menubuhkan cawangan di daerah ini bagi memberi lebih banyak pilihan kepada penduduk.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata penubuhan cawangan Bank Islam di situ juga akan menyumbang kepada pertumbuhan Beaufort yang menjadi kawasan pertemuan penduduk dari Sipitang, Membakut dan Kuala Penyu.

“Ini kerana, kawasan ini akan membangun seiring dengan pembangunan projek minyak dan gas di Sipitang serta Kimanis,” katanya ketika berucap pada majlis iftar di kampung Rancangan, Klias dekat sini, malam tadi.

Sementara itu Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengalu-alukan sumbangan pihak korporat dalam membantu memajukan pembangunan masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

Terdahulu, Ketua Hubungan Strategik Pejabat Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh dalam ucapannya berkata Bank Islam memperuntukkan lebih RM600,000 untuk membantu 1,600 golongan asnaf pada Ramadan kali ini.

“Daripada jumlah itu, RM23,300 telah disumbangkan sebagai zakat kepada golongan yang kurang bernasib baik serta masjid At-Taqwa di kampung Rancangan Klias, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Papar dan Lembaga Pelawat Rumah Kanak- Kanak, Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata program kemasyarakatan itu adalah program tahunan yang dijalankan sejak 2009 dengan objektif mendekati golongan luar bandar dengan menghulurkan bantuan zakat kepada golongan kurang bernasib baik.

Pada majlis itu, Bank Islam turut meraikan 103 anak yatim, golongan ibu tunggal, orang kurang upaya dan penduduk asnaf dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Bank Islam dengan kerjasama penduduk kampung berkenaan.

Komen


Berita Berkaitan