Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,696

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ayuh Sokong Beregu Kita Demi Emas Pertama Olimpik

6:56pm 17/08/2016 Pak Roshan 465 views Mutakhir,Sukan

Chan-Peng-Soon-Goh-Liu-Ying

ATAS kertas kontinjen Malaysia sudah terjamin pulang dari Olimpik 2016 dengan rekod lebih baik berbanding edisi lalu apabila pingat perak kedua berada ‘dalam tangan’ setelah beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mencipta kejutan dengan mara ke final.

Misi mereka berdua kini adalah untuk mengubah warna pingat kepada emas apabila bertemu beregu Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia dalam perlawanan akhir pertama di gelanggang badminton di Riocentro di Rio de Janeiro, Brazil lewat Rabu waktu Malaysia.

Pasangan yang sebenarnya tidak diberi harapan untuk mengutip pingat itu berjaya mara ke perlawanan akhir selepas membenam naib juara Olimpik London 2012 yang juga pasangan beregu campuran keenam terbaik dunia, Xu Chen-Ma Jin dari China.

Dalam perlawanan dalam separuh akhir yang berlangsung selama 47 minit pada Isnin, Peng Soon-Liu Ying mempamerkan aksi meyakinkan set pertama, selepas berjaya hidu kelemahan Ma Jin yang gagal mengawal tekanan, untuk meraih kemenangan mudah 21-12.

Dalam set kedua, pasangan China itu mula bangkit untuk cuba merapatkan jurang pungutan mata sehingga nyaris memotong wakil negara kita, namun Peng Soon dan Liu Ying mampu mengekalkan fokus mereka untuk akhirnya menang tipis dengan 21-19.

“Seperti tidak percaya, tetapi kita sudah capai kejayaan, kami sangat gembira. Saya tidak fikir lagi sangat tentang final, kita selesaikan satu persatu. Kami tidak tertekan dalam perlawanan separuh akhir malah jurulatih juga minta kami main macam biasa,” kata Peng Soon.

Perlawanan akhir di TV1 berlangsung pada pukul 10.30 malam ini waktu Malaysia bertemu beregu No. 3 dunia Tontowi-Liliyana yang mara ke final selepas menumbangkan satu lagi pasangan China yang juga pemenang emas Olimpik London 2012, Zhang Nan-Zhao Yunlei.

Peng Soon-Liu Ying pernah beraksi dalam Olimpik London 2012 namun kalah semua perlawanan. Rekod pertemuan antara mereka lebih memihak pasangan Indonesia itu, yang turut menang dalam pertemuan terakhir di peringkat kumpulan minggu lalu. – Mynewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan