Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Audit: Pengurusan Tanah Wakaf Di Sabah Kurang Memuaskan

3:28pm 18/05/2016 Pak Roshan 78 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

wakaf-yatim-mandiri

KOTA KINABALU : Keseluruhan pengurusan tanah wakaf oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) tidak memuaskan, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015, Siri 1 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan audit itu, pengauditan yang dijalankan antara Mei 2015 hingga Ogos 2015 mendapati pengurusan tidak memuaskan disebabkan proses peletakan hak MUIS ke atas tanah wakaf tidak dilaksanakan secara teratur dan rekod tanah wakaf tidak diselenggara dengan kemas kini.

“Selain itu, Majlis (MUIS) tidak menyiarkan dalam warta senarai semua harta, pelaburan dan aset wakaf yang terletak hak pada MUIS serta tanah wakaf tidak dibangunkan dan sebidang tanah wakaf yang dilawati telah diceroboh,” menurut laporan berkenaan.

Laporan itu yang menyemak 75 fail tanah wakaf di Semporna, Papar dan Beaufort mendapati 22 atau 29.3 peratus daripada 75 tanah wakaf telah pun diletak hak ke atas MUIS manakala 53 atau 70.7 peratus lagi tidak diletak hak kepada agensi itu.

Menurut laporan berkenaan, semakan selanjutnya yang dijalankan mendapati permohonan 21 tanah wakaf tersebut tidak dikemukakan kepada Pejabat Pemungut Hasil Tanah (PPHT) daerah untuk proses peletakan hak.

“Antara sebab permohonan tidak dikemukakan ke PPHT untuk proses peletakan hak adalah pewakaf meninggal dunia sebelum menandatangani borang ‘Memorandum Of Transfer’ (MOT), berlaku pertikaian antara pewaris menyebabkan proses meletak hak tidak dapat dilaksanakan dan pewakaf tidak mendapat maklumat jelas mengenai proses pewakafan dan MOT,” menurut Audit.

Laporan Audit berkenaan juga mendapati 25 permohonan peletakan hak masih dalam tindakan PPHT daerah dan Jabatan Tanah Dan Ukur (JTU) dan tujuh permohonan ditolak disebabkan permohonan tanah di atas rizab tebing sungai, termasuk dalam kawasan simpanan padang ragut dan bertindih dengan permohonan tanah yang terdahulu.

Menurut laporan berkenaan lawatan Audit ke tapak tanah wakaf di tiga daerah berkenaan juga mendapati sembilan masjid, dua surau dan empat sekolah agama telah dibina di atas tapak tanah wakaf yang tidak diletak hak kepada MUIS.

“Kegagalan pihak MUIS untuk meletak hak ke atas tanah wakaf boleh menyebabkan hak ke atas tanah dan fasiliti keagamaan yang disediakan boleh dipertikaikan oleh pihak lain,” kata laporan itu.

Mengenai rekod tanah pula, laporan tersebut menyebut bahawa semakan Audit terhadap Daftar Tanah Wakaf yang telah dikemas kini setakat 18 Dis 2015 mendapati daripada 195 tanah wakaf yang telah diletak hak ke atas MUIS, 68 tanah wakaf tidak mempunyai maklumat tarikh pemilikan, (tidak mempunyai nombor geran (10) dan tidak mempunyai keluasan (11).

Dengan itu Audit mengesyorkan kepada MUIS supaya peletakan hak dibuat ke atas tanah wakaf dengan menyemak atau mengemukakan semula Permohonan Tanah (PT) bagi tanah yang dipohon daripada Kerajaan Negeri dan mengemukakan MOT kepada Pejabat PPHT daerah bagi tanah yang diwakafkan oleh individu untuk proses selanjutnya.

Rekod tanah wakaf juga perlu dikemas kini dengan lengkap dan teratur serta menambah baik pengurusan tanah wakaf secara dalam talian agar mudah dicapai oleh pihak pengurusan dan pelanggan (pewakaf) bagi tujuan antaranya untuk semakan rekod, kemas kini maklumat, semakan status pewakafan dan laporan penyiaran untuk pewartaan, syor audit.

Audit turut mengesyorkan supaya MUIS memastikan pembangunan tanah wakaf dirancang dan dilaksanakan bagi mengelakkan pencerobohan dan supaya golongan sasar mendapat manfaat daripada pembangunan tersebut.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan